Pelajar OKU UiTM Terima Anugerah Tokoh OKU Muqarrabun

SHAH ALAM, 27 APR 2022 – Status sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak menghalang Ahmad Haadzal Kamarulzalis untuk menerima Anugerah Tokoh OKU Muqarrabun Negeri Kelantan : Tokoh Akademik Penglihatan pada Majlis Hari OKU Muqarrabbun yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 21 April 2022 di Pengkalan Chepa, Kelantan. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Yang Berhormat Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau yang merupakan pelajar semester 5 Ijazah Doktor Falsafah Statistik, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA ini menyatakan sebelum ini beliau sering ketinggalan dalam pelajaran kerana kekangan penglihatan. Namun, beliau tidak patah semangat sehingga berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana dan ditawarkan menjadi guru di SMKA Al-Mashoor, Georgetown,  Pulau Pinang.

Saudara Haadzal, 29, dibesarkan oleh ibu beliau yang berstatus ibu tunggal. Setelah kematian ayah, ibu beliau bekerja di kilang untuk menyara keempat-empat anaknya. Keadaan ekonomi keluarga yang  serba kekurangan menjadikan ibu beliau amat menekan pendidikan anak-anak kerana menyedari pendidikan mampu merubah masa hadapan masing-masing.

Haadzal menambah, Unit Perkhidmatan OKU, Universiti Teknologi MARA memainkan peranan penting dalam membantu beliau mengikuti pengajian dengan memberi aksesibiliti, keanjalan, saksama, kesetaraan dan inklusiviti kepada pelajar OKU seperti beliau. Beliau turut menyatakan rasa penghargaan kepada kedua-dua penyelia Ijazah Doktor Falsafah beliau, Dr Norshahida Shaadan dan Profesor Madya Dr Sayang Mohd Deni  yang tidak putus-putus menyuntik semangat beliau sepanjang pengajian.

Majlis yang merupakan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan dan Persatuan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan  telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff.