Program Sembang Santai UiTM Bersama Presiden American Library Association (ALA)

SHAH ALAM: Pada 14 Februari 2023 (Selasa), pihak Pengurusan Perpustakaan (IM244), Pusat Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berbesar hati menerima kunjungan dari Puan Emily Drabinski, American Library Association (ALA) Presidential – Elect diiringi bersama dua (2) orang wakil dari Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) ke sesi Sembang Santai bersama sepuluh (10) orang pelajar tahun akhir dan juga barisan pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Maklumat, KPPIM.

Puan Emily Drabinski adalah seorang profesional yang berpengalaman di dalam bidang kepustakawanan, di samping memiliki pengalaman yang luas dalam memimpin organisasi serta mempromosikan perkembangan bidang kepustakawanan. Justeru, pelajar IM244 telah berpeluang untuk mengadakan sesi berdialog secara langsung disamping mendengar tentang pengalaman Puan Emily berkaitan bidang kepustakawanan dan perpustakaan.

Program tersebut yang telah berlangsung di Smart Classroom, UiTM Kampus Puncak Perdana turut menyaksikan kehadiran oleh yang berbahagia Profesor Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor, KPPIM. Turut hadir ke program juga adalah Profesor Madya Dr Mad Khir Johari Abdullah Sani, Ketua Pengajian Sains Maklumat, dan Dr A’dillah Mustafa, Koordinator Pengurusan Perpustakaan (IM244).

Lawatan dan sesi perkongsian tersebut telah memberikan manfaat dan sumbangan yang besar kepada Pusat Pengajian Sains Maklumat, khususnya kepada seluruh komuniti kepustakawanan di Malaysia dalam mewujudkan jalinan kerjasama antarabangsa di antara UiTM dan Badan Profesional, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang kepustakawanan serta mempromosikan perkembangan pendidikan dalam bidang kepustakawanan dari kedua-dua pihak.