COMMEX 2023: Pameran Poster dan Pembentangan Projek Akhir Pelajar

Kuala Terengganu, 22 Februari 2023 – Sebanyak 82 sesi pembentangan projek akhir pelajar dan pameran poster telah diadakan bagi pelajar-pelajar semester akhir Sarjana Muda Sains Komputer (Kep)(CDCS230), Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kep) Pengkomputeran Perniagaan (CDCS264), dan Sarjana Muda Sains (Kep) Matematik Pemodelan dan Analitik di Dewan Lestari UiTM Kampus Kuala Terengganu.

Program tersebut telah disempurnakan penutupannya oleh Penolong Rektor Kampus, Prof Madya Wan Dorishah Wan Abdul Manan. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pelajar untuk sentiasa mempersiapkan diri secara mental dan fizikal untuk memasuki alam pekerjaan. Pelajar turut diingatkan untuk meningkatkan penguasaan diri dalam pelbagai bidang yang tidak sahaja memberi fokus kepada bidang yang diajar di UiTM sahaja. Selain, itu, pelajar turut diingatkan untuk menerapkan sikap dan amalan yang terpuji serta menjaga nama universiti ketika diluar nanti terutama apabila bekerja.

Penilaian projek dibuat sendiri oleh penyelia pelajar dan penilai daripada Kampus Kuala Terengganu, Kampus Dengkil dan Kampus Segamat. Pertandingan poster pula diadili oleh panel juri yang dilantik dari kalangan pensyarah dari kampus Kuala Terengganu dan Dungun serta turut dijemput mengadili program ini ialah pegawai-pegawai teknologi maklumat daripada agensi kerajaan negeri Terengganu dan alumni KPPIM.

Lebih menarik perhatian, program ini turut dikunjungi oleh 8 orang pelajar daripada Karpagam Academy of Higher Education (KAHE), India yang sedang berada di Malaysia untuk program inbound di UiTM Cawangan Terengganu selama 1 bulan. Ini memberi lebih kurang kepada pelajar-pelajar untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka menyiapkan projek masing-masing.

Dalam majlis tersebut, 6 orang pelajar yang menghasilkan projek terbaik diberikan hadiah dan 5 poster terbaik turut diberikan penghargaan. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajiaan KPPIM UiTMCTKKT, Ts. Dr. Mohd Talmizie Amron.