Pelajar Tahun Akhir Sains Pengkomputeran KPPIM Hasilkan Pelbagai Inovasi Digital

22 Februari 2023 – Lebih 400 inovasi digital telah dihasilkan menerusi Pameran Projek Tahun Akhir Pelajar Pusat Pengajian Pengkomputeran , Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) semalam. Pameran ini telah diadakan di sekitar bilik kuliah termasuk Dewan Al-Ghazali, Kompleks Al-Khawarizmi, KPPIM UiTM Shah Alam. Inovasi ini dihasilkan oleh 446 pelajar terdiri daripada lapan (8) program Ijazah Sarjana Muda Sains Pengkomputeran iaitu:

CS264 Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Pengkomputeran Perniagaan
CS266 Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Maklumat
CS230 Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian)
CS253 Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Multimedia
CS240 Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian)
CS251 Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Netsentrik
CS245 Sarjana Muda Sains Komputer ( Kepujian) Komunikasi Data Dan Rangkaian
CS255 Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer

Sesuai dengan status Premier Digital Tech Institutions, para pelajar KPPIM menterjemahkan ilmu dan kemahiran digital melalui pelbagai inovasi mengetengahkan teknologi terkini menerusi projek tahun akhir. Inovasi ini antaranya sesuai diaplikasikan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan sekolah rendah, kesihatan, perubatan, perniagaan komersil, kebajikan, komuniti dan sebagainya. Program yang diadakan setiap penghujung semester ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan projek-projek yang mempunyai nilai tambah dan berpotensi untuk dikomersilkan.

Selain daripada proses penilaian oleh para penyelia dan pemeriksa di kalangan pensyarah yang terlibat, melalui program ini juga dapat memupuk keyakinan para pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan sebenar.

Program seumpama ini dapat melahirkan kreativiti di kalangan pelajar terutamanya dalam menghasilkan projek bermutu selari dengan kemahiran yang diperlukan dalam revolusi industri 4.0. Ia juga merupakan manifestasi KPPIM dan UiTM yang berkapasiti menghasilkan graduan yang mempunyai nilai kebolehpasaran di peringkat kebangsaan dan global.