PROGRAM SEMARAK SISWA MADANI

LAHAD DATU, 20 Julai 2023 – UiTM Cawangan Sabah telah dilantik oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Penyelaras Majlis Penutup Program Semarak Siswa Madani di SMK Sepagaya Lahad Datu pada 20 Julai 2023. Program ini telah dihadiri oleh para pelajar sekolah tersebut dan telah diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti taklimat permohonan UPU, Selangkah ke UITM dan Kaunter Kemasukan Peajar ke IPTA demi menarik minat mereka ke menara gading.

Seramai lapan (8) orang calon pelajar di daerah Lahad Datu menerima surat tawaran memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang telah diserahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal dan Rektor UiTM Cawangan Sabah Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed sempena Majlis Penutupan Program Semarak Siswa Madani Sabah. Kelapan-lapan pelajar tersebut turut menerima Wang Pendahuluan Pelajar berjumlah RM1,500 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berserta bakul rahmah dan kelengkapan ke asrama sumbangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program Semarak Siswa Madani ini telah bermula pada 16 Julai 2023 di Kota Belud dan ini merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, melalui inisiatif ini, KPT akan membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti. Lahad Datu merupakan destinasi keenam kembara ini yang bertujuan untuk menyantuni para pelajar sekolah, calon pelajar serta masyarakat di Sabah melalui empat (4) komponen pelaksanaan Program Semarak Siswa Madani iaitu KPT Prihatin Madani, Student for Society (S4S), Knowledge Transfer Program @ Komuniti, dan TVET @ Komuniti Madani.