PROGRAM SAHABAT CHARITY SALE BENTUK KOMUNITI PRIHATIN

Pada 7 dan 8 Januari 2023 yang lalu, Kelab Sahabat yang merupakan salah sebuah persatuan pelajar di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah menganjurkan satu program jualan amal yang dinamakan sebagai Sahabat Charity Sale, bertempat di Pasar Tani Kuala Pilah dan Pasar Pagi Tanjung Ipoh. Ia merupakan kesinambungan daripada sesi jualan pertama dan kedua yang telah diadakan pada 17 Disember 2022 dan 18 Disember 2022 yang lepas.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mencari dana tambahan bagi menampung perbelanjaan Kelab Sahabat dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan komuniti setempat sepanjang tahun 2023. Di samping itu, ia juga turut memberi peluang kepada orang awam dan para pengunjung sekitar Kuala Pilah untuk sama-sama berkongsi rezeki membantu golongan yang memerlukan.

Melalui program jualan amal ini, Kelab Sahabat telah menjual pakaian terpakai hasil sumbangan daripada masyarakat setempat dan warga UiTM seperti pakaian wanita, pakaian lelaki dan pakaian kanak-kanak dengan harga serendah RM 1 sehingga RM 3 sehelai. Malah, para pengunjung dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barang jualan dengan harga runtuh RM 1 apabila jualan lelong dibuka selama 15 minit sebelum gerai jualan ditutup. Hasil daripada aktiviti jualan amal ini, Kelab Sahabat telah berjaya menjana pendapatan sejumlah RM 387.

Program Sahabat Charity Sale ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan masyarakat setempat untuk beramal, malah ia juga telah berjaya menerapkan ilmu keusahawanan dalam diri mahasiswa UiTM, di samping mengasah kemahiran mereka untuk berkomunikasi secara berkesan dengan orang awam. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan FAMA Kuala Pilah atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini berlangsung. Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, selari dengan hasrat Universiti untuk melahirkan mahasiswa yang berkualiti tinggi dan sentiasa cakna dengan permasalahan semasa masyarakat setempat.