Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum of Agreement (MoA) di antara Universiti Teknologi MARA dan University of Muhammadiyah Malang, Indonesia. (20 Januari 2023)

Hasil inisiatif Fakulti Sains Kesihatan , Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam satu memorandum persefahaman (MoU) dan Memorandum of Agreement (MoA) bakal terlaksana bersama Faculty of Health Sciences, University Of Muhammadiyah Malang, Indonesia.

Pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam telah dijemput ke majlis upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan Memorandum of Agreement (MoA) yang akan berlangsung di University Of Muhammadiyah Malang, Indonesia pada 20 hb Januari 2023; di mana Dr. Rusnani Ab Latif sebagai Ketua Projek Geran Padanan.

Pada hari tersebut juga Simposium Antarabangsa 2023 diadakan. Ianya merupakan program anjuran bersama Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam bersama Fakulti Sains Kesihatan, University Of Muhammadiyah Malang, Indonesia.

Objektif utama program Simposium Antarabangsa ini adalah untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran berkenaan teori dan praktis di dalam bidang Obstetrik dan Gynaecologi di institusi pengajian tinggi. Beberapa orang pensyarah daripada Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang telah dijemput untuk menjadi Keynote Speakers, diantaranya: Ts. Dr. Wan Ismahanisa Ismail; Dr. Rusnani Ab Latif; Ts. Dr. Nadiatul Syima Mohd Shahid dan Norasma Bakar.

Universiti Muhammadiyah Malang (UMM) adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang ditubuhkan pada tahun 1964 dan berada di bawah naungan Persatuan Muhammadiyah. Pada masa ini, UMM mempunyai 62 program pengajian di beberapa peringkat pendidikan (vokasional, sarjana muda, sarjana, kedoktoran, dan profesional). UMM sendiri telah memenangi gelaran Kecemerlangan dalam akreditasi negara dan menerima gelaran Kampus Islam Terbaik Nombor 1 di Dunia mengikut UniRank pada Mac 2021. Selain itu, UMM turut memenangi QS-Star Three Star dan memenangi Anugerah Tenaga ASEAN. Beberapa program pengajian di UMM juga telah mendapat pensijilan Asean University Network-Quality Assurance (AUN-QA) dan Lembaga Akreditasi Indonesia untuk Pendidikan Kejuruteraan (IABEE).

Pada masa ini Universiti Muhammadiyah Malang menduduki 3 lokasi kampus iaitu kampus I di Jalan Bandung 1, kampus II di Jalan Bendungan Sutami 188 A dan kampus III di Jalan Raya Tlogomas 246. Kampus satu yang menjadi kampus utama UMM dan kini tertumpu untuk program Sarjana Muda Fisioterapi. Sementara itu, Kampus II yang pernah menjadi pusat aktiviti utama kini tertumpu sebagai kampus Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan. Manakala kampus III sebagai kampus bersepadu digunakan sebagai pusat segala aktiviti.

Rektor UiTM, Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali menjelaskan, kolaborasi ini membuka peluang penyelidikan bersama dan bertukar ilmu. selain daripada itu juga akan berpeluang untuk pertukaran mahasiswa, pertukaran budaya dan kegiatan kolaborasi lain. “MoU ini tentu dapat meningkatkan kualiti dua perguruan tinggi di mata antarabangsa. Di samping itu, Rektor UMM iaitu Dr Fauzan menilai kerja sama ini sebagai kunci meraih kejayaan dalam menyumbang kepada masyarakat. Sementara itu, simposium yang ini juga akan membentuk penyegaran ilmu pengetahuan terutamanya pada aspek kesihatan. Kolaborasi ini dirasa mampu mempererat tali silaturahim antara kedua-dua negara serumpun, iaitu Indonesia dan Malaysia. Harapan di masa akan datang agar ada kunjungan langsung Kampus Putih ke UiTM, dan begitu juga sebaliknya dalam rangka menjalankan MoU seterusnya.