Program Road Tour McD Ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 19 Jun – Unit Jaringan Industri Komuniti dan Alumni (ICAN) dengan kerjasama Unit Kerjaya & Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Kelantan bersama pihak McD telah mengadakan Program Road Tour McD ke UiTM Cawangan Kelantan bagi mengadakan program taklimat bersama pelajar. Pelajar yang terlibat merupakan pelajar Modul Kerjaya Finishing School Semester Mac-Ogos 2023. Objektif program ini adalah memfokuskan kepada peluang pekerjaan di McD kepada bakal Graduan (Graduate Employability Programme-GEP), memfokuskan kepada peluang latihan industri di McD kepada mahasiswa serta dapat melahirkan perantis dan pelapis pengurusan dalam sistem kerjaya di McD.

Pengarah program pada kali ini ialah Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff dan program ini telah berlangsung dengan jayanya. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, dengan kehadiran seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada 400 mahasiswa dari pimpinan pelajar serta pelajar tahun akhir UiTM Cawangan Kelantan, staf UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian (KPP) dan juga Penyelaras Latihan Industri serta staf pentadbiran. Program ini turut mendapat sumbangan sebanyak 500 biji burger Mc Chicken dan satu balang jus oren daripada McD Kok Lanas & McD Tanah Merah. Program ini bermula pukul 1:30 petang dan tamat pada pukul 5:00 petang.

Perasmian telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi dan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Rektor HEP iaitu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli. Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA), Dr. Norzieha Mustapha. Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu dari wakil McD iaitu Puan Nur Amirah Al Nassir Mohd Ariff yang merupakan Pegawai Pengambilan Institusi dan Encik Zulkarnain Mat Hussin yang merupakan Pegawai Pengambilan Pantai Timur. Banyak ilmu yang telah dikongsi oleh penceramah kepada peserta-peserta program ini. Semoga program ini dapat dijalankan secara berterusan dan lebih ramai bakal graduan UiTMCK yang menyertai McD sebagai laluan kerjaya mereka. Semoga ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan UiTM khasnya dan negara amnya.