Jun 2023: HEP Terus Fokus Memperkukuh Tadbir Urus

SHAH ALAM, 23 Jun 2023 – Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menganjurkan Majlis Perjumpaan Bulanan TNC HEP Bersama Warga BHEP bagi bulan Jun 2023 bertempat di Foyer Kompleks Budisiswa, UiTM Shah Alam. Tujuan perjumpaan setiap bulan ini diadakan bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara warga BHEP di samping memaklumkan inisiatif, pencapaian dan perancangan BHEP pada masa yang akan datang.

Antara intipati perjumpaan kali ini adalah apresiasi kepada Pusat Kebudayaan atas penganjuran WIRASA dari 13 hingga 23 Jun 2023 di mana program ini merupakan program tahunan yang akan mempertandingkan acara-acara kebudayaan antara kolej pengajian dan fakulti. Selain itu, Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas HEP telah mengadakan Bengkel Digitalisasi Minggu Destini Siswa (MDS) pada 1 Jun 2023 memandangkan MDS akan dilaksanakan secara hibrid bermula semester hadapan. YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) menyeru semua warga BHEP yang terlibat dengan MDS untuk memberikan sepenuh kerjasama dalam merealisasikan MDS digital ini.

Di samping itu, sokongan dan bantuan seluruh warga BHEP diperlukan dalam memperkukuh modul Program Aspirasi DNA UiTM (PADU) yang sedang dimurnikan oleh pihak Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) kerana tujuan utama modul ini adalah untuk menerapkan rasa bangga dan kecintaan mahasiswa terhadap UiTM. Seterusnya, YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi juga mengucapkan tahniah kepada barisan MPP atas penganjuran sesi townhall bersama pihak pengurusan UiTM pada 22 Jun 2023. “Kita perlu mendengar suara mahasiswa memandangkan mereka adalah klien utama BHEP dan membantu mereka sebaik mungkin tanpa membelakangkan dasar serta perundangan universiti”, ujar beliau. Sementara itu, warga BHEP juga diberikan pemakluman berkaitan program Semarak Siswa Madani yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi. Program ini akan melibatkan empat teras utama iaitu KPT Prihatin Madani, Students for Society (S4S), Inovasi Sosial, dan TVET@ Unity Madani.

Perjumpaan bulanan BHEP pada kali ini diakhiri dengan penyampaian Anugerah BHEP Employee of The Month di mana penerimanya ialah Puan Farah Aqilah Suib (Pembantu Operasi, Kolej Kediaman Teratai), Encik Rosli Mohd Ali (Pembantu Operasi Kanan, Kolej Kediaman Meranti), Puan Nurul Suhana Mohd Noor (Penolong Pegawai Kebudayaan Kanan, Pusat Kebudayaan), Puan Hasmalizam Hassan (Pembantu Tadbir Kanan, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu) dan Puan Zaiha Ahmad (Koordinator Kemahiran Insaniah, Institut Kepimpinan Pelajar). Anugerah ini diberikan kepada staf yang komited serta menunjukkan prestasi yang terbaik sepanjang bulan Mei 2023.