Program Planet Protector

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (BA2324A) telah menganjurkan program bertemakan ‘Planet Protector pada 3 Januari 2024 bertempat di Dewan Indera Segara, UiTM Cawangan Pahang. Program ini diadakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), UiTM Cawangan Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 (SMKJP2) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang.

Program dianjurkan adalah merupakan salah satu daripada kriteria projek penilaian berterusan untuk kursus Pengurusan Projek (OPM655). Program ini juga bertujuan untuk mendidik golongan generasi muda mengenai kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. Program ini dapat menggalakkan murid-murid mengasingkan sampah di rumah dan manfaatkan sampah yang boleh dikitar semula.

 

Turut diadakan pada hari tersebut adalah ceramah bertajuk “3R (Reduce, Reuse and Recycle)” khusus untuk murid-murid SMKJP2 yang terdiri daripada murid-murid Tingkatan 3 seramai 95 orang. Penceramah jemputan iaitu Encik Ashraff Kaharudin dari SWCorp Negeri Pahang telah berkongsi pengalaman dan memberi maklumat lengkap tentang pengurusan sisa serta panduan melaksanakan aktiviti kitar semula kepada murid-murid. Program ini bertujuan memberi pendidikan kepada murid-murid mengenai kepentingan, selain memupuk budaya amalan kitar semula dalam kalangan murid-murid.

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pertandingan “explorace”. Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program explorace ini, antaranya ialah: boling botol, teka peribahasa, recycling relay, typist star, bola beracun dan lain-lain. Sepanjang program berjalan, peserta sangat teruja dan bersemangat untuk menyelesaikan tugas yang diberikan oleh pihak penganjur. Diakhir program, para peserta diberikan hadiah atas kejayaan melangkapkan kesemua cabaran aktiviti yang diberikan. Hadiah yang disampaikan berupa hamper dan sijil penyertaan dan penghargaan. Diharapkan aktiviti yang diadakan ini dapat memberi impak positif dan pengajaran berguna kepada para peserta dalam menterjemahkan kreativiti, inovasi dan pemikiran kritis secara berkumpulan.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) seperti SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan berkualiti dan SDG 11 (bandar dan masyarakat mampan). PPPT akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. Justeru, PPPT yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPT dan UiTM Cawangan Pahang amnya.