Program Motivasi Bersama Pelajar SMANI Anjuran Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perlis

Arau, 14 Mei 2023- Telah berlangsung program motivasi di Sekolah Menengah Agama Nurul Islam (SMANI), Ayer Hitam Kedah. Program motivasi ini di ketuai oleh Dr Ummi Syarah Ismail bersama para pensyarah/pengiring yang terdiri dari Puan Fadhlina Che Arsyad, Dr Nadhilah Abd Pisal, Ustaz Azrie Ibrahim dan Cik Nadiah Abd Rahim selaku pengiring. Ahli jawatankuasa yang lainnya terdiri dari sebahagian pensyarah dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis. Terdapat seramai 22 pelajar yang bertindak sebagai fasilitator program dari FSKM, FSG & FPP UiTM Perlis. Bilangan pelajar SMANI yang terlibat ialah seramai 44 orang.

Program bina motivasi : kearah kecemerlangan akademik dan syakhsiah diadakan bertujuan bagi membina keyakinan dan motivasi diri pelajar. Di samping itu juga, ia bertujuan bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar terutamanya melibatkan mata pelajaran yang mempunyai pencapaian rendah dalam peperiksaan SPM. Program ini merupakan inisiatif Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Research Interest Group Arabic Language Education (RIG ALE) dan Research Interest Group Digital Communicators yang dianjurkan atas permintaan pihak sekolah mengadakan program jalinan berbentuk motivasi dengan universiti awam di negeri Perlis. Selain daripada itu, ia juga merupakan suatu program kolaborasi dengan komuniti luar seiring dengan agenda universiti untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan masyarakat luar melalui program ilmiah.

Objektif program diadakan adalah bertujuan untuk:

• Meningkatkan potensi diri pelajar dalam kemahiran akademik dan syakhsiah bagi melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkeyakinan tinggi.
• Memupuk semangat belajar dan pengurusan diri dalam kalangan pelajar
• Memberi pendedahan kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di universiti
• Membuat promosi program-program di UiTM Cawangan Perlis
• Memasyarakatkan universiti melalui pelaksanaan majlis-majlis ilmu

Terdapat 4 gerak kerja kumpulan iaitu Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Perniagaan. Sesi bermula dengan gerak kerja kumpulan Matematik, diikuti dengan Sains, Bahasa Inggeris dan Perniagaan. Sesi bermula dengan ketibaan peserta di SMANI pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 3.30 petang dengan upacara pemberian cenderamata dan penutup.

Secara keseluruhannya pihak SMANI amat berpuas hati dengan program yang diadakan kerana ianya mengenengahkan para pelajar UiTM sebagai fasilitator yang mengendalikan sesi secara santai. Pihak SMANI mengucapkan ribuan terima kasih kepada Akademi Pengajian Bahasa UiTM Perlis atas sumbangan kepakaran bagi merealisasikan aspirasi sekolah mengadakan program berbentuk motivasi dengan universiti awam bagi meningkatkan prestasi pelajar SPM 2023.