Pelancaran Dapur HEP 2.0 & ‘Food Retort’ Memanfaatkan Mahasiswa UiTM

Shah Alam, 16 Mei 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Majlis Pengetua Kolej Kediaman UiTM Shah Alam telah mewujudkan inisiatif Dapur HEP 2.0 dan Food Retort. Inisiatif ini telah dirasmikan ketika Majlis Sambutan Raya Peringkat HEP 2023 yang bertempat di Dewan Platinum, Kolej Kediaman Melati, UiTM Shah Alam.

Dapur HEP 2.0 berkonsepkan penyediaan tempat memasak untuk pelajar yang menetap di Kolej Kediaman. Ruang dapur yang lengkap dengan kelengkapan ini telah diwujudkan di setiap kolej kediaman bagi membantu para pelajar menyediakan makanan mereka setiap hari. Sehubungan itu, Food Retort merupakan teknologi pembungkusan makanan moden yang lebih tahan lama bagi memudahkan kaedah penyediaan dan penyimpanannya.

Dapur HEP 2.0 dan Food Retort ini telah diwujudkan bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi. Hal ini demikian kerana kebajikan pelajar menjadi elemen penting dalam gerak kerja BHEP bagi memastikan proses pembangunan pelajar berlaku secara efisien. Disebabkan majoriti pelajar UiTM adalah berasal daripada keluarga B40 dan kurang berkemampuan, usaha seperti sudah tentu dapat memanfaatkan sebahagian besar penuntut UiTM.

Dapur HEP 2.0 dan Food Retort ini telah dirasmikan oleh Encik Hirman Awang@Semail, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi. Encik Hirman menerusi ucapannya menyatakan bahawa KPT sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar. Antaranya, Menu Siswa Rahmah (MSR) adalah inisiatif kerajaan yang telah disambut baik oleh semua IPT. “KPT dengan kerjasama Universiti Awam dan pengusaha gerai memperkenalkan hidangan dengan harga berpatutan iaitu RM3.50 yang mengambil kira keperluan nutrisi asas (serat, karbohidrat, protein) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa universiti awam. Dijangkakan 386,067 mahasiswa (70.2% enrolmen mahasiswa di Universiti Awam) termasuk pelajar UiTM menerima manfaat ini”, ujar beliau.

Dalam pada itu, perkakas elektrik yang digunakan di Dapur HEP 2.0 ini telah ditaja oleh syarikat Prokhas Sdn. Bhd. Ini merupakan strategik yang berkesan dalam mewujudkan rangkaian sosial dengan syarikat elektronik dalam membantu universiti menyediakan kemudahan bagi warganya. Turut hadir ke program ini ialah YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi (Timbalan Naib Canselor HEP), Puan Faridah Abd Wahab (Penolong Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat, Prokhas Sdn. Bhd.) dan semua warga BHEP.

Secara keseluruhannya, usaha seperti ini dapat membantu meringankan beban pelajar dan memberi platform kepada mereka untuk lebih fokus dalam proses kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah yang lebih mampan. Harapan BHEP agar Dapur HEP ini dapat dipanjangkan ke semua kampus UiTM seluruh Malaysia, seterusnya disambut baik dan dilaksanakan di setiap IPT. Usaha dan inisiatif daripada pihak KPT khususnya melalui Bahagian Mahasiswa Holistik dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan BHEP dalam menguruskan perihal pelajar khususnya dalam aspek kebajikan.