Program Mau’izah Siri Oktober 2023 : Sisi Rumahtanggan Rasulullah S.A.W

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan Program Mauizah Siri Oktober 2023 bertajuk Sisi Rumah Tangga Rasulullah SAW pada 27 Oktober 2023.  Program ini telah disertai oleh kakitangan BPPA yang bermula pada jam 8.30 pagi dan disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohd Faizan Tajuid, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), UiTM Shah Alam.

Sebaik-baik ikutan yang perlu kita contohi ialah junjungan besar Baginda Rasulullah. Ini kerana kehidupan Baginda Rasulullah penuh dengan kasih sayang sesama keluarga.  Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga, Rasulullah sentiasa bergaul secara baik dengan isteri dan ahli keluarga.

Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka sebaliknya sabar dengan kerenah serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.  Meskipun Rasulullah dikenali sebagai pemimpin yang disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung.

Ciri-ciri utama rumah tangga Rasulullah SAW adalah penyayang, tegas, sabar dan berlemah lembut terhadap isteri.  Sebagai rumusan dan pengajaran, seseorang suami perlu berusaha mendalami ilmu agama untuk menjadi ketua keluarga dihormati bagi menjalani bahtera kehidupan bersama isteri dan keluarga.  Isteri juga perlu berusaha menambahkan ilmu supaya setiap konflik rumah tangga dapat diselesaikan dengan aman dan sentosa.

Program ini berakhir jam 9.30 pagi.  Semoga program ini dapat menyuntik semangat kekeluargaan, mencetus inspirasi dan menjadi teladan terbaik buat semua warga BPPA yang hadir.