Program Mau’izah Siri September 2023 : Kepimpinan Dua (2) Umar

Program Mau’izah Siri September 2023 yang bertajuk Kepimpinan Dua (2) Umar telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohammad Shaffiaizad Amar bin Mohammed Sabri, Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) Universiti Teknologi MARA Shah Alam.  Program diadakan pada 26 September 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) bermula jam 8.30 pagi.

Pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz selari dengan anjuran Islam dan menjadikan tokoh ini tersohor pada zaman pemerintahan mereka.  Mereka masih memegang ciri-ciri pemerintahan Rasulullah tetapi membuat beberapa perubahan sesuai dengan perkembangan negara dan masa.

Khalifah Umar al-Khattab, dan Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan pemerintah yang telus dan berintegriti.  Banyak sumbangan sepanjang kedua-dua pemerintahan dua tokoh besar ini.  Antaranya dasar pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, pembentukan Majlis Syura, penubuhan Baitulmal dan sebagainya.  Sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz pula antaranya membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan mengelak dari menerima sebarang hadiah, menginfakkan keseluruhan hartanya kepada Baitulmal sehinggakan kehidupan beliau sekeluarga sendiri sangat sederhana dan menguatkuasakan undang-undang syariah dan menghapuskan cukai Jizyah kepada sesiapa sahaja yang memeluk Islam tanpa mengira bangsa atau kaum.

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab penuh dengan kemakmuran kerana beliau berani dan mentadbir dengan baik sehingga digelar Amirul Mukminin.  Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, negara mengalami kemakmuran walaupun beliau memerintah lebih kurang dua tahun sahaja. Keperibadian kedua-dua Khalifah Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz yang sangat mulia menjadikan mereka pemimpin yang sangat disayangi rakyat.

Program ini berlangsung selama satu jam iaitu bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir kira-kira pada jam 9.30 pagi.  Semoga program ini dapat memberi impak positif serta dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua warga BPPA.