Program Mau’izah Siri November 2023 : Golongan yang akan Muflis di Akhirat

Program Mauizah Siri November 2023 bertajuk Golongan yang akan Muflis di Akhirat telah diadakan pada 29 November 2023 di Bilik Mesyuarat Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) pada jam 8.30 pagi.  Penceramah jemputan adalah YBrs. Ustazah Nurul Afidah Awang, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), UiTM Shah Alam.

Bayangkan, pada asalnya, banyak pahala dibawa ke akhirat termasuk solat, puasa, zakat dan sebagainya, namun sayang semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa yang dilakukan terhadap mereka.  Setiap manusia akan menuntut semula pembalasan di atas setiap kezaliman yang pernah dilakukan seseorang itu di dunia dahulu.

Golongan muflis yang dimaksudkan adalah mencaci orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membubuh orang dan memukul orang.

Antara dosa paling banyak dilakukan sesama manusia adalah disebabkan lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang-kala disalahgunakan untuk memaki-hamun, mencela, memfitnah dan menuduh orang lain dengan tuduhan jahat. Begitu juga amalan mengadu domba, mengumpat dan seumpamanya.  Selain itu, ada juga yang mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran atau dengan cara salah serta zalim.  Ini termasuk dengan cara mencuri, menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya.  Walaupun nilai diambil itu mungkin sedikit, ia tetap akan dituntut oleh tuannya di akhirat kelak.

Agar kita tidak menjadi muflis di akhirat nanti, sewajarnya kita perlu sentiasa bermuhasabah diri daripada menzalimi atau menyakiti orang lain walaupun dalam hal yang kelihatan kecil dan remeh.  Kesimpulannya, Allah SWT mengharamkan kezaliman berlaku dalam kalangan makhluk-Nya. Jika seseorang dizalimi, pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun tiada seorang manusia pun yang mahu membela dirinya.

Semoga program ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan jati diri warga BPPA dari segi akhlak dan sahsiah diri yang cemerlang.