KPPIM UiTM ANJUR PROGRAM CERAMAH KESIHATAN DI KALANGAN PELAJAR

Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan program ceramah berkaitan kesihatan mental di kalangan pelajar pada 11 November yang lalu.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Cik Nurfatihah Aziz yang merupakan Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM Shah Alam. Beliau memiliki kelayakan akademik dalam Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Kaunseling dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Ijazah Sarjana Kaunseling Professional, Universiti Malaya. Antara kelayakan profesional yang beliau miliki adalah seperti Registered Counsellor (Board of Counsellor, Malaysia), Certified SPT Practitioner, Certified MBTI Administrator, Certified TAJMA Practitioner, Certified AD-HTP Practitioner, Certified Next Career Counsellor, dan Certified NEO-CBT Practitioner. Bidang kepakaran beliau adalah Psychological and Counselling Services for Personnel, dan beliau telah berkhidmat di UiTM selama 14 tahun.

Program yang berlangsung selama tiga (3) jam tersebut telah dijalankan secara atas talian dengan kehadiran seramai seratus (100) orang peserta. Program turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Mohd Nazrul Mohd Amin, selaku Dekan Hal Ehwal Pelajar KPPIM, Dr Mohd Nizam Yunus selaku Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar KPPIM, Dr Suzana Ahmad selaku Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan Pelajar KPPIM serta Puan Kasmarini Baharuddin selaku Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Sebaya KPPIM, UiTM Shah Alam.

Sesi perkongsian tersebut telah memberikan manfaat serta pendedahan awal kepada mahasiswa tentang kepentingan untuk menjaga kesihatan mental dan mengawal emosi ketika berhadapan dengan tekanan ataupun masalah kehidupan. Di samping itu, program seumpama ini juga dapat memberikan pengetahuan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menangani masalah mental di peringkat lebih awal. Adalah diharapkan lebih ramai pelajar yang peka dengan kepentingan menjaga kesihatan mental untuk mengharungi cabaran hidup.