Program Mau’izah Siri Mei 2023 : Bekerja Untuk Ke Syurga

Program Mau’izah Siri Mei 2023 di Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah diadakan pada 12 Mei 2023 secara bersemuka bertempat di Bilik Mesyuarat BPPA. Program Mau’izah kali ini bertajuk “Bekerja untuk ke Syurga” disampaikan oleh YBrs. Ustaz Abdul Mutalib Abd Jamil, Timbalan Pengarah II, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Program bermula pada jam 8.30 pagi dan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad, Pengarah BPPA.

Konsep kerja adalah ibadah merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Pemahaman bekerja sebagai ibadah juga akan menyerlahkan hasil yang berkualiti, tidak melakukannya dengan sambil lewa malah lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

Syarat-syarat kerja menjadi ibadah adalah pekerjaan tidak bercanggah dengan Islam, niat yang betul, tidak melalaikan dari kewajipan asasi yang utama dan melakukan kerja dengan sempurna.

Faktor-faktor kerja tidak menjadi ibadah kerja-kerja yang melibatkan rasuah, pemakaian ketika bekerja, penindasan orang bawahan, niat yang salah, melalaikan tanggungjawab sebagai orang lslam dan tidak beretika.

Kefahaman ini akan memupuk kejujuran, sikap amanah, tidak ‘curi tulang’ dan tidak sesekali menyalahgunakan kuasa termasuk menghakis kemahuan terhadap keinginan melakukan rasuah ketika melaksanakan tanggungjawab. Sebagai orang Islam kita perlu sentiasa bersyukur dalam setiap rezeki yang dinikmati sama ada manfaat gaji atau upah yang diterima. Mereka yang sentiasa bersyukur dan berniat melakukan pekerjaan kerana Allah SWT pastinya akan mendapat kedua-dua ganjaran di dunia dan akhirat.

Program ini berakhir pada jam 9.30 pagi. Semua warga BPPA diharapkan mendapat manfaat daripada sesi kali ini dalam melakukan pekerjaan kita seharian.