Program Mau’izah Siri Mac 2023 : Muraja’ah Ramadhan

Program Mau’izah Siri Mac 2023 di Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah diadakan pada 28 Mac 2023 secara bersemuka bertempat di Bilik Mesyuarat BPPA. Program Mau’izah kali ini bertajuk “Muraja’ah Ramadhan” disampaikan oleh YBrs. Ustaz Haji Md Idris bin Abdullah, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Islam (HEI) Universiti Teknologi MARA Shah Alam,

Ramadhan telah difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah. Ia merupakan bulan diwajibkan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam. Bulan ini bulan yang paling dinantikan oleh sekalian orang beriman, kerana pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Tingkatan puasa terbahagi kepada umum dan khusus. Puasa orang awam (shaum al-‘umum): menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum. Puasa orang khusus (shaum al-khusus) turut berpuasa pancaindera dan seluruh badan dari melakukan dosa dan khusus ini juga membersihkan segala perkara yang berhubungkait dengan dunia.

Hakikat puasa ialah lapar dan dahaga itu akan memecahkan sifat-sifat individualistik, akan menjauhkan diri daripada perkara yang melalaikan, menahan diri dari syahwat, menyempitkan ruang laluan syaitan dan merehatkan anggota badan dari keinginan nafsu.

Bulan Ramadhan menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang soleh seperti solat dan membaca Al-Quran. Persiapan Ramadhan yang boleh dilakukan ialah perbaiki niat, berdoa, memperbanyakkan membaca Al-Quran, ulangkaji kitab Fiqh berkenaan puasa dan perbanyakkan amal ibadah contohnya qiyam, bersedekah dan sebagainya. Antara kebaikan serta ganjaran yang patut menjadi keutamaan bagi umat Islam dalam bulan Ramadhan adalah dengan mencari satu malam iaitu Malam Lailatul Qadar yang mana beribadah pada malam tersebut akan mendapat ganjaran yang lebih baik dari seribu bulan atau menyamai 83 tahun 4 bulan.

Umat Islam perlu mengambil kesempatan sebaiknya apabila bertemu Ramadhan kali ini dengan menggandakan segala bentuk amal kebaikan, lebih-lebih lagi ibadah yang dikhususkan pada bulan yang mulia ini, berdasarkan kepada hadis nabi bahawa menjadi sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang yang sempat berada dalam bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan Allah SWT.

Semoga setiap ilmu yang disampaikan akan terus mengalir menjadi saham akhirat dan mampu dimanfaatkan oleh semua.