Program KUDAH InQKA

Shah Alam – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) selaku penggerak kualiti UiTM telah menjalankan aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) pada 1 Jun 2023. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang telah diperkenalkan pada Januari 2014 sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S.

Program KUDAH InQKA dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kebersihan dan kekemasan persekitaran tempat kerja di samping melahirkan warga InQKA yang sihat melalui aktiviti senaman dan pergerakan sepanjang melaksanakan aktiviti mengutip sampah di sekitar Kompleks Al-Farabi, UiTM Shah Alam. Di samping itu, elemen kreatif dan inovatif diterapkan untuk memastikan ruang pejabat adalah kondusif dan memadai dengan fasiliti yang disediakan.

Aktiviti KUDAH yang julung kali diadakan ini dimulakan dengan senaman ringan dan ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Dr. Azizah Abdullah, Penolong Naib Canselor InQKA. Memetik ucapan beliau, “adalah penting untuk semua warga bersama-sama mencipta ekosistem kerja yang mampu meningkatkan motivasi dan prestasi kakitangan” menggambarkan kepentingan dan kebertangungjawaban semua pihak untuk menjaga ekosistem yang mempengaruhi peningkatan kualiti dan produktiviti kerja.

Di akhir ucapan, Penolong Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga InQKA kerana memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan aktiviti KUDAH ini. Adalah diharapkan semua pihak bersama-sama menjaga persekitaran tempat kerja agar sihat dan selamat dengan ekosistem yang kondusif dan secara tidak langsung meningkatkan motivasi dan daya pemikiran kreatif semua warga.