UiTM Terima Pengiktirafan Sebagai Malaysia’s Certiport Authorized Testing Center Syarikat Teknologi Gergasi Microsoft

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Universiti Teknologi MARA telah dianugerahkan sebagai ‘Malaysia’s Certiport Authorized Testing Center (CATC) bagi syarikat teknologi global Microsoft. Pengiktirafan ini disampaikan pada Micro-Credentials Education Summit 2023 Bersempena Malaysia National Championship 2023 Grand Finale bertempat di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur. Profesor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM telah hadir pada majlis ini bagi menerima pengiktirafan tersebut.

Dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, UiTM berkolaborasi bersama Microsoft, Acestar dan SoftwareONE telah melancarkan Certiport Authorized Testing Centre (CATC) di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media pada 3 Oktober 2022. Kerjasama ini bertujuan melengkapkan pelajar dan kakitangan UiTM untuk memiliki pensijilan yang diikitiraf industri.

Pada masa yang sama, menerusi MoU UiTM dengan Microsoft , para pelajar dan kakitangan UiTM berpeluang menduduki peperiksaan pensijilan di CATC dengan potongan yuran sebanyak 90%. Dengan memiliki sijil Microsoft, terbukti para graduan UiTM berjaya memperolehi pekerjaan di syarikat-syarikat ternama seperti as Petronas Digital, Affin Bank, Syarikat Credence (subsidiari TM) dan sebagainya.

Micro-Credentials Education Summit 2023 Bersempena Malaysia National Championship 2023 Grand Finale yang dianjurkan oleh Syarikat Acestar Sdn Bhd, telah disempurnakan oleh Wakil Rasmi YB Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pada acara ini, Profesor Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, telah menjadi panelis bagi forum yang bertajuk “Setting a Global Standard: Collaborative Efforts among Universities Created a Top-Tier Testing Center”.

Selain itu, UiTM juga terpilih untuk menyediakan reruai untuk mempromosikan kursus-kursus Microsoft yang ditawarkan oleh Certiport Authorized Testing Centre (CATC) di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM.