Program Khidmat Masyarakat Wakaf Buku Kepada Kolej Vokasional Temerloh

17 Disember 2021 (Jumaat) – Jawatankuasa Khidmat Masyarakat, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Wakaf Buku Kepada Kolej Vokasional Temerloh bertempat di Dewan Al-Biruni 1.

Objektif utama program khidmat masyarakat ini diadakan adalah untuk menyahut dan menyokong hasrat universiti dengan menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial atau “Corporate Sosial Responsibility” yang memberi manfaat dan impak kepada komuniti (PI 85). Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar khususnya para pelajar dari Kolej Vokasional Temerloh. Hal ini adalah bertepatan dengan saranan universiti dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi bidang 4 iaitu Pendidikan Berkualiti “Quality Education” di mana pendidikan yang berkualiti antara lainnya adalah perlu memupuk sikap suka membaca dalam kalangan para pelajar. Tambahan lagi, program ini juga telah dianjurkan bertujuan untuk membina jaringan dan kerjasama di antara pihak UiTM Cawangan Pahang dengan Kolej Vokasional Temerloh.

Program ini telah dihadiri oleh YBrs. Pn. Nor Azizahwati binti Said, Timbalan Pengarah Akademik bersama 7 delegasi dari Kolej Vokasional Temerloh. Selain itu, YBrs. Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah binti Ramli selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik yang mewakili YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang juga telah hadir dan menyampaikan ucapan aluan dengan memberi galakan dan sokongan penuh di atas jalinan kerjasama yang diadakan. Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Nurrohana Ahmad yang mewakili Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Dr. Haji Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, En. Arifi bin Ridzuan, Koordinator Kursus Sistem Pengurusan Pejabat yang mewakili Pn. Norlaili binti Haji Harun, Ketua Pusat Pengajian serta para pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan.

Adalah diharapkan agar jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan fokus utama antaranya adalah memberi impak kepada komuniti. Jawatankuasa penganjur program juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran program ini.