Program Khidmat Masyarakat Arduino Hackathon: An Initiation for Perlis Secondary Schools​ Anjuran Bersama Pusat Asasi UiTM Dengkil Dan UiTM Perlis Dengan Tajaan Yayasan TM

Unit Sains Komputer Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil dengan kerjasama, Yayasan Telekom Malaysia, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah berjaya menganjurkan program Arduino Hackathon: An Initiation for Perlis Secondary School​s. Program ini merupakan inisiatif projek TechEd: Technovators of The Future melalui Geran Impak Sosial YTM. Di samping itu, program ini telah melibatkan sebanyak lima buah sekolah di sekitar Arau iaitu SMK Arau, SMK Agama Arau, SMK Syed Sirajuddin, SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah dan SMK Dato’ Sheikh Ahmad. Ianya telah melibatkan seramai 12 orang guru yang mengajar subjek RBT/ASK dan 50 orang pelajar. Bagi menjayakan program ini, gerak kerja secara intensif telah dijalankan di kalangan pensyarah Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil, pensyarah KPPIM UiTM Perlis dan pelajar Asasi Kejuruteraan UiTM Dengkil.

Program khidmat masyarakat ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan serta menanam minat para pelajar sekolah untuk belajar dan meneruskan pengajian dalam bidang STEM. Selain itu juga, program ini memberikan pendedahan kepada guru-guru tentang teknologi yang dapat digunakan untuk membantu pelajar dalam mendalami bidang STEM. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program yang berlangsung pada 19 Ogos – 20 Ogos 2023 ialah ceramah pengenalan Arduino, bengkel hands-on Arduino serta penyediaan dan pembentangan projek Arduino oleh kumpulan pelajar. Sesi ceramah telah disampaikan oleh pensyarah yang berpengalaman dari Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil dan KPPIM UiTM Perlis dibantu oleh fasilitator di kalangan mahasiswa Asasi Kejuruteraan, Pusat Asasi UiTM Dengkil seramai 16 orang. Disamping itu, peserta program dibekalkan dengan set Arduino beserta buku modul hands-on sepanjang program.

Di akhir program ini, lebih daripada 80% pelajar telah berjaya membentangkan hasil projek Arduino mereka. Semasa majlis perasmian penutup, tiga buah sekolah telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang iaitu SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, SMK Agama Arau dan SMK Dato’ Sheikh Ahmad. Projek-projek Arduino ini dinilai oleh para juri yang berpengalaman. Pemenang tempat pertama telah menerima hadiah berupa set Arduino yang bernilai RM1500, pingat dan hamper. Tempat kedua, pemenang menerima hadiah set Arduino yang bernilai RM1200, pingat dan hamper. Manakala, pemenang tempat ketiga telah menerima hadiah berupa set Arduino yang bernilai RM900, pingat dan hamper. Majlis perasmian penutup telah diserikan lagi dengan kehadiran En. Mukri Adam Mat Kasim (Pengurus Perhubungan dan Pembangunan, Yayasan TM), Ts Dr. Syed Mohd Zahid Syed Zainal Ariffin (Ketua Projek TechEd: Technovators of The Future), Ts. Dr. Siti Zulaiha Ahmad (Ketua Pusat Pengajian (KPP), KPPIM, UiTM Perlis), Dr. Norzehan Sakamat (Koordinator Sains Komputer UiTM Dengkil), Puan Nawal Abdul Razak (Pengarah Bersama Program Arduino Hackathon- UiTM Dengkil), dan En. Iman Hazwam Abd Halim (Pengarah Bersama Program Arduino Hackathon- UiTM Perlis).

Justeru itu, pihak penganjur mengharapkan supaya usaha memupuk minat pelajar ini tidak tamat sebaik sahaja program berakhir. Guru-guru disaran untuk menubuhkan serta memantapkan Kelab Technovator atau Kelab Robotik di sekolah masing-masing. Diharapkan dengan penubuhan kelab ini, pelbagai aktiviti berkaitan dengan STEM dapat dijalankan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di setiap sekolah.