Program Kesedaran MyGAP Dan Pengurusan Kesihatan Ikan

Bahagian Biosekuriti Perikanan Cawangan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menganjurkan “Program Kesedaran MyGAP dan Pengurusan Kesihatan Ikan” bagi kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang pada 28 Mac 2022 yang lalu, bertempat di Dewan Al-Biruni 2, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Program Malaysian Good Aquaculture Practice (MyGAP) atau juga dikenali sebagai Amalan Akuakultur Baik Malaysia dianjurkan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan Amalan Akuakultur Baik di samping pendedahan mengenai pengendalian pengurusan kesihatan ikan khususnya dalam kes kematian ikan.

Pihak UiTM Pahang amat komited dalam penglibatan projek usahasama penyelidikan dengan sektor-sektor awam mahupun swasta. Program anjuran bersama ini adalah antara usaha awal dalam hubungan kerjasama antara Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan UiTM Cawangan Pahang. Kerjasama ini juga bertujuan memperkukuhkan jalinan melalui proses pemindahan ilmu, penganjuran program ceramah, dan kajian penyelidikan berkaitan pada masa akan datang. Program ini amat bertepatan dalam pengkhususan misi universiti untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari ke-14; Hidupan Dalam Air (Sustainable Goal Development – 14: Life Below Water).

Ucapan alu-aluan telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Pahang, manakala program telah berjaya dirasmikan oleh Tuan Abdullah bin Jaafar, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang. Antara jemputan lain yang hadir termasuklah En. Mohd Asraf Said bin Azman (Ketua Cawangan Biosekuriti Perikanan Pahang), Puan Norarziah binti Abdullah @ Aziz (Ketua Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan), En. Mohd Nasir bin Muhamad (Ketua Pusat Pengembangan Perlok), En Mohd Mutalib bin Sapie (Ketua Perikanan Daerah Maran), dan Puan Norazizah Kemat (Penceramah / Pegawai Perikanan Pusat Biosekutiriti Perikanan Kuantan).

Diharapkan UiTM Cawangan Pahang dan Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan terus berganding bahu meninjau pelbagai peluang yang boleh diterokai dalam menjayakan program-program serta projek penyelidikan yang lain bagi meningkatkan kecemerlangan bersama kedua-dua belah pihak.