Hari Matematik Sedunia UiTM (UiTM PI DAY 2022)

Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi melakar nama UiTM di peta dunia sempena sambutan Hari Matematik Sedunia 2022 atau dikenali sebagai the International Day of Mathematics (IDM 2022). Sambutan ini merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap 14 Mac dan turut dikenali sebagai Pi Day. Tarikh 14 Mac dipilih adalah simbolik kepada tiga digit pertama pemalar matematik pi, π yakni nilai 3.14. Hari Pi ini telah diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization (UNESCO) pada 26 November 2019.

Untuk meraikan sambutan ini, UiTM selaku penganjur dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) telah mengadakan program UiTM Pi Day 2022 pada 14 Mac 2022. Antara aktiviti utama program ini adalah pertandingan olimpiad dan ceramah webinar yang dijalankan sepenuhnya di atas talian. UiTM julung kalinya mengorak langkah memperluaskan pertandingan olimpiad dengan menjemput penyertaan dari pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan seluruh Malaysia mengikut kategori masing-masing. Penyertaan pelajar sekolah dan universiti adalah seiring dengan hasrat FSKM untuk memupuk minat pelajar terhadap penyelesaian masalah matematik secara kreatif dan kritis. Penglibatan pelajar dari pelbagai peringkat seluruh Malaysia ini bertepatan dengan tema IDM 2022 iaitu “Mathematics Unites”.

Bagi program pertandingan Olimpiad 2022, sejumlah 140 kumpulan pelajar sekolah dan 95 kumpulan pelajar dari pelbagai universiti telah diterima, menunjukkan daya minat matematik yang tinggi di kalangan para pelajar sekolah di Malaysia. Penglibatan siswazah dari pelbagai universiti juga membuktikan bahawa matematik masih kekal relevan serta mempunyai daya tarikan pada peringkat lebih tinggi. Ini pastinya dapat membakar minat lebih mendalam di dalam bidang sains dan teknologi (S&T) khususnya dan STEM secara amnya.

Bagi meningkatkan lagi kesedaran kepentingan Matematik di dalam urusan harian dan aplikasi, UiTM Pi Day 2022 turut menjalankan sesi webinar membincangkan aplikasi matematik di dalam bidang berkaitan kriptografi. Sesi webinar berinformasi ini telah diwarnai penceramah berpengalaman di dalam bidang sekuriti siber, En Wan Zariman Omar yang merupakan Penganalisa Kanan dari Cyber Security Malaysia. Ia turut dimeriahkan oleh Puan Zanariah Mohd Yusof, pensyarah matematik dari UiTM Kuala Terengganu.Perkongsian dari pihak industri memperlihatkan kepentingan matematik dalam kehidupan yang dapat menyediakan tenaga kerja profesional bagi membantu mempercepatkan kemajuan sains, teknologi dan inovasi negara. Webinar yang disiarkan secara langsung dari aplikasi atas talian Webex dan laman You Tube FSKM telah mendapat sambutan yang sangat baik dari dalam dan luar UiTM.

Kesimpulannya, sambutan UiTM Pi Day 2022 adalah salah satu usaha UiTM menyokong dan menyedarkan orang awam akan kepentingan matematik yang dapat menyumbang kepada peningkatan tahap pendidikan yang berkualiti, demi melahirkan masyarakat celik ilmu dan generasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Ia juga dapat mendokong iltizam SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyemarakkan lagi pendidikan sepanjang hayat secara inklusif.