Program Forum Gema Takbir 2023, Mencari Kasih Ilahi Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan

13 MEI 2023 – Program Forum Gema Takbir 2023 (Mencari Kasih Ilahi) telah diadakan bertempat di Auditorium 1, Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh secara hibrid dan dipancarkan secara langsung melalui live streaming Youtube. Program ini telah dihadiri seramai 150 orang warga UiTM yang terdiri dari pelajar Fakulti Pergigian dan pelajar Fakulti Perubatan serta barisan Staf Residen Kolej.

Majlis ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej UITM Kampus Sungai Buloh & Selayang iaitu seramai 28 orang ahli jawatankuasa program yang juga terdiri daripada pelajar dari Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian. Sesi ucaptama dan perasmian bagi forum ini telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman yang merupakan Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan.

Forum ini telah juga telah menjemput Panel-panel jemputan seperti Da’i Wan (Wan Dazrin Wan Din) yang merupakan pendakwah bebas, juga Ustaz Adam bin Zakaria, Penolong Pendaftar Unit Hal Ehwal Islam dari Bahagian Spiritualiti dan Kaunseling Hospital Sultan Abdullah UiTM. Manakala moderator pula ialah Saudara Akmal Haziq, pelajar tahun 1 dari Fakulti Pergigian.

Forum ini telah diadakan sebanyak 2 pusingan dan 4 soalan yang diajukan daripada moderator serta 5 soalan yang diajukan daripada pelajar. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendidik pelajar supaya mensyukuri nikmat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan bertemu dan meraikan perayaan Aidilfitri pada tahun 2023 ini bersama-sama dengan ahli keluarga mahupun sahabat handai.

Diharapkan agar program forum seperti ini dapat terus diadakan di masa akan datang. Memetik kata-kata Buya Hamka iaitu iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun, ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri. Di atas maksud yang sama dengan objektif program yang turut menekankan konsep menyeluruh dan bersepadu, keseimbangan antara kognitif perlu diwujudkan bersama-sama dengan pembentukan sahsiah (akhlaq) dan nilai. Asas kepada keseimbangan ini terletak kepada kepercayaan (faith) dan kepatuhan (submission) kepada Tuhan.