Program Catur Cilik Cuti Sekolah Bersama PPIM UiTM Cawangan Pahang

Bersempena cuti persekolahan pada kali ini, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (PPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menganjurkan program Catur Cilik kepada pelajar sekolah bagi mengisi ruang cuti persekolahan.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk minat pelajar sekolah terhadap permainan catur yang diyakini berupaya memupuk dan melatih pemikiran pelajar untuk merangka strategi di dalam permainan catur, juga meningkatkan keupayaan logik pelajar di dalam menyelesaikan masalah. Ini adalah penting bagi mengasah minda, bakat serta kefahaman pelajar terhadap permainan catur khususnya kepada pelajar yang baru berjinak dengan permainan ini.

Program catur cilik ini juga diadakan untuk pecutan akhir penjanaan pendapatan PPIM UiTM Cawangan Pahang di dalam PI117 – Penjanaan Pendapatan khususnya kepada UiTM Cawangan Pahang bagi tahun 2022 yang diadakan khusus semasa cuti persekolahan bagi tahun 2022 ini.

Program sehari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor HEA, Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli, bertempat di Dewan Kolej Tun Teja & Bilik IT Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Seramai 80 orang peserta dari pelajar sekolah di sekitar Jengka, Pahang telah menghadiri program ini.