Program Bersama Komuniti: Pemindahan Ilmu Tentang Matlamat Pembangunan Lestari Dari Perspektif Kejuruteraan

SHAH ALAM, 19 DISEMBER 2022 (ISNIN): Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam telah menjalin kolaborasi bersama Malaysian Nature Society: Kuala Selangor Nature Park dalam mengadakan program bersama komuniti yang terdiri daripada 120 orang pelajar-pelajar sekolah dari Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Sekolah Kebangsaan Taman Gembira dan Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Selangor.

Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Hjh Hamidah Mohd Saman, selaku Dekan Jaringan Industri, Komuniti Dan Alumni (ICAN). Turut dihadiri pensyarah-pensyarah UiTM, guru-guru besar dan guru pengiring sekolah yang terlibat. Program ini dimulakan dengan taklimat daripada Kuala Selangor Nature Park (KSNP) mengenai kelestarian alam sekitar lebih-lebih lagi ilmu tentang pemuliharaan hutan paya bakau sejajar dengan kehendak Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation’s Sustainable Goals). Ianya bertujuan untuk memberi kesedaran awal dan kefahaman kepada para pelajar tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan komuniti setempat dan generasi akan datang.

Selepas taklimat yang dikendalikan oleh KSNP, aktiviti berkumpulan bersama peserta iaitu, aktiviti mencipta menara kertas, carbon footprint education, terbang tinggi dan kreativiti reka cipta menggunakan bahan terpakai dijalankan dengan tunjuk ajar dari fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Pengajian Kejuruteraan Awam. Hasil daripada aktiviti ini ianya telah membuka ruang kapada pelajar UiTM untuk berinteraksi bersama komuniti yang dipilih sekaligus memupuk kemahiran komunikasi dan kepimpinan semasa menjayakan program ini.

Bagi memeriahkan program bersama komuniti, aktiviti cop kain rentang sebagai simbolik kepada kesatuan dalam pemantapan pembangunan lestari telah dijalankan. Sambutan dan maklum balas daripada pihak sekolah amat memberansangkan dan para peserta juga memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan.

Pihak penganjur program iaitu Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jawatankuasa program, para pensyarah, guru-guru dan pelajar sekolah yang terlibat bagi menjayakan majlis ini. Diharapkan program komuniti sedemikian dapat dijalankan di masa akan datang.