Program ‘Blind to Bright’ Tingkatkan Pemahaman Undang-undang Media di Kalangan Pelajar Sekolah

REMBAU, 7 Disember 2023 – Seramai 40 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya Rawang, Selangor dan 40 orang pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman (STAR) Gemas, Negeri Sembilan telah terlibat dengan program hibrid Blind to Bright: Youth, Media and Rules.

Dengan matlamat untuk memberi pencerahan berkaitan dengan aspek media dan perundangan di Malaysia, program ini telah dilaksanakan secara atas talian dan fizikal kepada para pelajar yang telah dipilih untuk mengikuti program ini. Program ini dilaksanakan atas keperluan subjek COM540 iaitu Media Law, Ethics and Regulations di bawah kaedah SULAM Service Learning Malaysia University for Society.

Ketua program Blind to Bright: Youth, Media and Rules anjuran Lakar Production iaitu saudari Ain Farzanah Binti Rezman yang juga merupakan pelajar semester dua Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti yang direncanakan di dalam program ini mendedahkan para pelajar dengan undang-undang yang berkaitan dengan media dalam penyampaian yang mudah dan interaktif.

“Pelajar tidak akan terlibat dengan aktiviti konvensional seperti ceramah atau syarahan tetapi sebaliknya akan menyelami dan terlibat dengan aktiviti interaktif untuk memahami dengan lebih lanjut isu yang kompleks melibatkan undang-undang di Malaysia.”

Program atas talian yang dilaksanakan terlebih dahulu pada 23 November di SMK Bandar Sungai Buaya memaparkan aktiviti yang berteraskan kepada gameshow. Kandungan aktiviti atas talian ini adalah lebih tertumpu kepada akta-akta komunikasi dan media yang terdapat di Malaysia. Pelajar akan berinteraksi dengan pengacara majlis yang bersiaran secara langsung di UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan di bantu oleh para guru yang bersama-sama dengan pelajar ketika itu.

Manakala bagi aktiviti fizikal pula dilaksanakan pada 7 Disember di STAR. Aktiviti fizikal lebih menekankan kepada aspek etika komunikasi dan hak kebebasan bersuara. Para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan akan melakukan simulasi aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur.