Mobiliti Pelajar UiTM: The Togetherness Initiative Programme

Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melaksanakan program UiTM International Student Mobility@Lombok. Seramai enam (6) orang pelajar dan dua (2) orang pensyarah pembimbing, Puan Nik Azliza Nik Ariffin dan Datin Jannatul Iza Ahmad Kamal dari Pusat Pengajian Sains Maklumat KPPIM, UiTM menyertai program mobiliti pelajar ini yang telah bermula pada 8 Disember sehingga 11 Disember 2023. 

Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan di bawah program mobiliti pelajar. Antara aktivti yang telah dijalankan berbentuk khidmat masyarakat pemeriksaan kesihatan di Kampung Terong Tawah Dusun Bagu, Lombok, Indonesia ini dijayakan bersama sejumlah 30 orang pelajar dan pensyarah dari Politeknik Medica Farma Husada Mataram Indonesia, dimana aktiviti pemeriksaan kesihatan, merekod data pesakit serta sesi kaunseling kepada orang awam yang menyertai program tersebut telah dilaksanakan. Selain itu, para peserta turut mengadakan suatu Program Gotong- Royong membersihkan Pantai Loang Baloq Mataram dengan penglibatan seramai  70 orang pelajar dan pensyarah dari Politeknik Medica Farma Husada Mataram Indonesia dan UiTM. Tujuan utama aktiviti diadakan adalah dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran warga setempat untuk bersama menjalankan tanggungjawab menjaga kebersihan Pantai Loang Baloq Mataram agar sentiasa bersih dan bebas daripada bahan sisa. Usaha ini perlu diteruskan dalam memelihara keindahan ekosistem pantai bagi membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang.

Di samping itu juga, para pelajar telah diberi peluang untuk menghadiri “Seminar Antarabangsa: Meningkatkan Kemahiran, Kapasiti Pengendali Arkib dan Rekod Perubatan Penyelesaian yang Berjaya Dalam Era Digital”. Seminar ini dijalankan dengan jayanya, telah dihadiri seramai 200 orang peserta dan jemputan penceramah dari kalangan pihak industri dan Institut Pengajian Tinggi Indonesia dan Malaysia. Aktiviti seterusnya yang dijalankan adalah “Expert Lecture” bertajuk ‘Peranan Rekod e-Perubatan’ yang telah dikendalikan oleh dua (2) orang pensyarah kanan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana, Puan Nik Azliza Binti Nik Ariffin dan Datin Jannatul Iza Binti Kamal. Ia bertujuan untuk memberi penerangan tentang peranan rekod perubatan elektronik dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan. Program telah dihadiri seramai 25 orang pelajar Politeknik Medica Farma Husada dan enam (6) pelajar KPPIM. 

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat bagi menjayakan program ini.. Pihak KPPIM berbangga dengan kejayaan perlaksanaan program antarabangsa yang telah dijalankan, dan semoga program yang telah dijalankan ini menjadi contoh buat warga UiTM agar lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan.