Program Badan Sihat Minda Cerdas anjuran Diploma Fisioterapi UiTMCPP Kampus Bertam

Bertam, Pulau Pinang – Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa bersama Universitas Airlangga (UNAIR) Surabaya, Program Badan Sihat Minda Cerdas anjuran Diploma Fisioterapi UiTMCPP Kampus Bertam telah berlangsung dengan jayanya pada Selasa, 9 Januari 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang. Seramai 30 pelajar fisioterapi UiTM dan 10 orang pelajar fisioterapi UNAIR telah melibatkan diri dalam program khidmat masyarakat ini. Program ini bertujuan untuk membuat ujian saringan kecergasan dalam kalangan pelajar SMK Teluk Bahang. Terdapat lebih kurang 222 pelajar Tingkatan Satu, Tiga dan Empat telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program ini.

Pernyataan “badan yang cergas melahirkan minda yang cergas” mencerminkan bahawa kesihatan fizikal saling berkait rapat dengan kesihatan mental. Seperti yang kita tahu, masalah kesihatan mental, terutama dalam kalangan pelajar menjadi satu isu yang tidak asing. Hal lagi disebabkan oleh beberapa aspek seperti tekanan akademik, penggunaan media sosial yang tidak terkawal, masalah keluarga, desakan rakan sebaya dan pencapaian dalam peperiksaan.

Oleh itu, Program Diploma Fisioterapi mengajurkan program kecergasan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kebergantungan kesihatan fizikal dan mental. Terdapat beberapa tips penting dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental yang telah dikongsi oleh Pn. Estu Meliani, pensyarah daripada Universitas Airlangga Surabaya, dalam ceramahnya, iaitu tidur yang cukup, memakan pemakanan yang seimbang dan bersukan sekurang kurangya 150 jam/seminggu. Hal ini penting untuk membantu proses perkembangan otak seterusnya dapat meningkatkan prestasi para pelajar.

Terdapat beberapa ujian kecergasan yang telah dilakukan iaitu beep test, push up test, ujian kardiorespiratori dan ujian kelenturan tubuh. Ujian ini penting untuk mengenalpasti kadar kecergasan para pelajar SMK Teluk Bahang. Program hasil kerjasama antara UiTMCPP Kampus Bertam dan UNAIR ini disokong oleh PhysioGO Sdn. Bhd. dan Physio Arena Sdn. Bhd. dalam merealisasikan objektif utama bagi program ini serta menjadi tunjang utama kejayaan program ini.

Dengan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, pelajar fisioterapi UiTM dan UNAIR berjaya memberi sepenuh komitmen untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar dan jayanya sekaligus menarik minat para pelajar SMK Teluk Bahang untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental.