Kursus Pengurusan Jenazah, Kelab Al-Falah UiTM Cawangan Johor

5 Januari 2024, SEGAMAT. Kursus Pengurusan Jenazah telah lama menyepi  semenjak COVID-19. Kekangan masa dan keadaan ketika itu, ilmu ini tidak dapat dijalankan secara fizikal. Ilmu ini perlu digali oleh mahasiswa sebagai satu tuntutan fardu kifayah khasnya untuk menguruskan saudara mara terdekat khususnya ibu bapa sendiri.

Program anjuran Kelab Al-Falah UiTM Cawangan Johor ini mendapat sokongan Hal Ehwal Pelajar. Program ini diadakan di Masjid As-Syakirin UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Objektif program dilaksanakan bagi mendedahkan latihan menguruskan jenazah dan hal pengurusan berkaitan kematian kepada mahasiswa. Ilmu ini jika hanya dipelajari melalui teori, buku atau atas talian adalah kurang berkesan.

Penceramah jemputan berpengalaman luas dalam menguruskan jenazah di kampung dan di hospital. Dua orang penceramah jemputan, Ustaz Luqmanul Hakim bin Zaharullah yang mengendalikan praktikal jenazah lelaki dan Ustazah Nazariah binti Abu Bakar yang mengajarkan cara praktikal mengkafankan jenazah perempuan.

Antara isi ilmu yang diajarkan apakah sunnah yang wajar dilakukan ketika mendengar berita kematian, kaedah mengkafankan jenazah lelaki dan perempuan secara praktikal dan cara mendirikan solat jenazah secara praktikal sangat bermanfaat kepada mahasiswa.

Teknik yang diajarkan penceramah dengan memberikan peluang kepada pelajar merasai sendiri dibaluti kain kafan serta mendedahkan kepada pelajar cara melipat dan membalut kain kafan dapat diulang-ulang beberapa kali agar pelajar mudah ingat teknik yang tepat.

Program ini juga dapat memberi manfaat untuk diri sendiri yang akan memakai kain kafan suatu masa nanti dan dapat menginsafkan diri para peserta yang hadir. Semoga ilmu ini memberikan ilmu tambahan kepada mahasiswa untuk mengamal dan menyebarkannya kepada orang lain. Sekalung penghargaan dilakarkan kepada penceramah, Ketua program saudari Nur Zaharah binti Zulkarna’en dan Penolong Ketua program saudari Auni Athirah binti Robi serta barisan ahli jawatankuasa Kelab Al-Falah yang bertungkus lumus menjayakan program.