Program ASEAN Sustainable Community Development (ASCD) 2024 di Yogyakarta, Indonesia

Pada 5 hingga 9 Mac 2024 Kelab Penyayang, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Tenologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan Program ASEAN Sustainable Community Development (ASCD) 2024 to Yogyakarta, Indonesia. Program sukarelawan antarabangsa ini merupakan kesinambungan Program ASCD sebelum ini yang telah diadakan di Kemboja dan Vietnam. Seramai 17 sukarelawan dari pelbagai bidang dan fakulti telah menyumbangkan idea dan tenaga bagi melaksanakan pelbgai aktiviti dari beberapa kluster iaitu Kluster Pendidikan, Kesihatan dan Kebajikan. Pada ASCD kali ini, Kelab Penyayang UiTM Shah Alam memilih Panti Asuhan Almujib dan Pondok Pesantren Yayasan Bima Bhakti (Putra dan Putri), Yogyakarta Indonesia sebagai lokasi lapangan. Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) dan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita turut menjadi rakan kolaboratif dalam program ini dengan menyumbangkan wang dan beg sekolah kepada warga panti asuhan dan pesantren tersebut.

Selain itu, para peserta juga telah mengunjungi dua buah universiti terkemuka di Yogyakarta iaitu dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM). Dalam kunjungan akademik tersebut para peserta dihimpunkan dalam satu seminar kepimpinan bersama wakil pejabat rektor kemahasiswaan dan perwakilan pelajar dari kedua universiti. Seminar tersebut mengangkat tema kepimpinan pelajar dan aktiviti sukarelawan atau dalam Bahasa Indonesia, dikenali sebagai aktivitas pengabdian kepada masyarakat. Dua orang wakil dari setiap universiti membentangkan latar belakang persatuan, program dan aktiviti sukarelawan masing – masing.

Semasa lawatan ke UNY, para peserta dibawa menggunakan kereta Buggy universiti menuju ke Gedung Laboratorium Kewirasusahawanan (Keusahawanan) UNY. Pusat beli-belah setinggi empat tingkat telah memberi peluang kepada mahasiswa dan alumni UNY untuk menjalankan aktiviti perniagaan masing – masing. Produk yang disediakan termasuk pelbagai jenis makanan, pakaian, kain Batik, aksesori, automotif, seni & kraf, peralatan sukan, perkhidmatan latihan dan elektronik. Terdapat juga kedai buku, pasar mini, bank dan bilik konsultasi yang menyediakan perkhidmatan urut dan terapi.

Sementara itu, para peserta juga berpeluang melawat kolej – kolej kediaman di kedua universiti UNY dan UGM. Diskusi diadakan antara pengurusan dan perwakilan pelajar kolej kediaman bersama peserta bagi mengkaji persamaan dan perbezaan sistem pengurusan kolej kediaman di sana. Setelah itu, para peserta dibawa melawat Museum Pendidikan Indonesia UNY dan Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya (FBSB) UNY bagi menjalankan bengkel pertukaran budaya. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk melaksanakan aktiviti kraf Batik dan keramik (Seramik).

Sungguhpun tiga hari yang padat dengan aktiviti kesukarelawanan dan lawatan akademik, berbaki dua hari terakhir ASCD 2024 telah diisi dengan lawatan sejarah, seni dan budaya ke Candi Borobudur dan Candi Prambadan serta menyaksikan persembahan teater oleh kumpulan Ramayana Ballet (Sendratari). Pertunjukan ini menceritakan kisah epik Ramayana yang menggambarkan percintaan antara Dewi Shinta dan Rama Wijaya. Selain itu, peserta turut melawat ke Gunung Merapi, Gua Pindul dan Pantai Timang.

Diharapkan melalui inisiatif pelaksanaan pelbagai program sukarelawan masyarakat di dalam dan luar negara oleh Kelab Penyayang UiTM Shah Alam, para peserta dapat memperluaskan jalinan dan jaringan sosial sama ada dalam kalangan mahasiswa sendiri yang juga peserta program, komuniti dan pertubuhan kebajikan (NGO) yang terlibat. Hakikatnya, mahasiswa proaktif dalam aktiviti khidmat masyarakat dan komuniti ini pasti dapat membangunkan diri menjadi pemimpin yang mempunyai personaliti unggul, empati tinggi, semangat kerjasama yang kuat dan kemampuan tinggi sebagai pemikir dan penyelesai masalah. Akhir kata, usaha ini juga diharapkan dapat menyumbang kepada pencapaian beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Petunjuk Prestasi (PI) BHEP UiTM.