UiTM bekerjasama dengan Masjid Padang Benggali Meraikan Ramadan

ISMaC (Intelligent and Sustainable Manufacturing Center) dari Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PKM), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah menganjurkan program berfokus kepada pembangunan insani menjelang Ramadan pada 9 Mac 2024. Penganjuran program ini yang bertempat di Masjid Padang Benggali, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang ini adalah sebagai tanda cakna UiTM kepada komuniti masyarakat melayu Islam di luar bandar untuk mengukuhkan ikatan sosial dan keagamaan melalui konsep memasyaratkan universiti.

Bermula dengan seminar keibubapaan oleh Mantan Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTMCPP, Prof Madya Muhammad Razak, program diteruskan dengan pertandingan laungan azan bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah yang dihadiri oleh 21 peserta. Majlis juga turut menyerahkan sumbangan kepada 40 keluarga asnaf sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan, menjadikan acara ini sebagai satu momentum keberkatan dan kerahmatan dalam menunaikan ibadah puasa.

Menurut Imam Masjid Padang Benggali, Ustaz Mohammad bin Mydin, program kerjasama ini adalah satu langkah penting dalam meningkatkan kekuatan antara institusi masjid dan universiti dalam komuniti. Beliau turut menyatakan bahawa kehadiran SIG ISMaC memberikan sokongan yang besar dalam usaha memajukan kesejahteraan sosial dan keagamaan di kawasan tersebut. Selain itu, wakil dari SIG ISMaC, Ts Rizal Mohamed Noor turut menyampaikan rasa syukur dapat beramah mesra dengan komuniti setempat dan berharap agar program ini dapat memperkasa peranan masjid menjelang bulan seribu rahmat ini.