Kem Kepimpinan Tertinggi (KKT) UiTM Cawangan Perak

KAMPUNG GAJAH, 29 Februari 2024 – Sebuah program Kem Kepimpinan Tertinggi (KKT) telah berlangsung dengan jayanya dari 19 Februari 2024 sehingga 22 Februari 2024 di Institut Latihan dan Pembangunan Universiti Teknologi MARA, Kampung Gajah, Perak. Program ini telah dianjurkan oleh Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak. Kem ini telah disertai oleh 67 orang pemimpin pelajar yang terdiri dari barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023/2024 yang baharu sahaja memenangi pilihanraya kampus lepas, dan juga ahli majlis tertinggi dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta persatuan dan kelab berdaftar yang bernaung di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perak. Kumpulan pelajar ini terdiri dari pelajar-pelajar untuk kedua-dua kampus di Seri Iskandar dan juga kampus Tapah dan meliputi pelajar-pelajar dari Kolej Pengajian Alam Bina, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan. Pengisian modul telah diisi dengan menjemput 4 orang penceramah yang telah hadir bagi mengisi slot yang telah dirancang, dengan dibantu oleh 4 orang fasilitator dan 3 pembantu fasilitator yang terdiri dari campuran kumpulan pensyarah dan staf sokongan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Dan yang lebih menarik bagi kem ini adalah kerana perasmi untuk upacara perasmian penutup Kem Kepimpinan Tertinggi ini adalah figura yang tidak asing lagi di kalangan pelajar UiTM sendiri iaitu Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Sahibi.

Dengan bermatlamatkan Pelan Perangkaan Strategik UiTM 2024 melalui tema ‘Globally Respectable’, kem ini dianjurkan dengan berpandukan kepada modul kepimpinan yang menjadi teras utama pelajar UiTM. Aktiviti kepimpinan merupakan agenda utama Unit Kepimpinan Pelajar (UKP) UiTM dalam melahirkan pemimpin dinamik yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Perlaksanaan aktiviti-aktiviti kepimpinan untuk pelajar UiTM ini bertepatan dengan aspirasi negara dalam menghasilkan pelajar yang mempunyai lonjakan kecemerlangan bakat melalui perlaksanaan program yang memupuk etika dan kerohanian, mempunyai kemahiran memimpin, beridentiti nasional, berkemahiran dan fasih dalam bahasa, mempunyai kemahiran berfikir dan berpengetahuan selaras dengan Aspirasi Pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025.

Buat julung kalinya juga, modul Majlis Perwakilan Pelajar dan modul Kepimpinan Tertinggi digabungkan dalam satu program bagi menyokong usaha dan perlaksanaan agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Penggabungan modul ini juga dilihat sebagai salah satu strategi dari Unit Kepimpinan Pelajar sendiri bagi menyahut seruan perbelanjaan berhemah. Usaha ini juga dilakukan bagi mewujudkan kerjasama erat di antara pemimpin pelajar dalam membawa aspirasi universiti dalam merencana aktiviti yang dapat membantu membentuk sahsiah mahasiswa universiti yang dinamik dan cemerlang. Selain itu, kem ini juga bertujuan untuk meningkatkan kompetensi dan bakat mahasiswa sebagai pemimpin pelajar agar lebih cerdas, proaktif, berdaya saing, cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Melalui pengisian modul terlibat, usaha bagi memupuk nilai penyayang, prihatin dan bersemangat kesukarelawan di kalangan pelajar dapat diasah agar pelajar lebih cakna dengan isu yang berlaku di sekeliling mereka. Kem ini juga bermatlamat untuk menyemai semangat patriotisme dan menyemai rasa cintakan negara dan taat kepada Rukun Negara bagi membentuk pemimpin yang bertanggungjawab, berwawasan, bermoral tinggi, berbudi bahasa dan mempunyai jati diri yang unggul.

Pengisian modul pada siri Kem Kepimpinan Tertinggi ini meliputi pelbagai aspek yang bertungjangkan amalan ESI-IDART. Dalam menzahirkan aspirasi UiTM bagi membentuk pelajar yang berkualiti dan holistik, aspirasi-aspirasi ini diterjemahkan melalui siri ceramah dan juga latihan dalam kumpulan. Antara penceramah yang telah sudi meluangkan masa adalah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak sendiri iaitu Prof. Madya Sr. Dr Mohd Azian Zaidi. Selain itu juga terdapat slot yang bertumpu kepada pemerkasaan mahasiswa yang telah disampaikan oleh Mohd Shahril Abd Rashid, Ketua Unit Kepimpinan Pelajar dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak. Selain bertumpu kepada penambahbaikan sistem pemerkasaan mahasiswa itu sendiri, beliau dan fasilitator yang terlibat sudi membantu kumpulan pelajar berkenaan sepanjang kem berlangsung supaya hasrat dan harapan pelajar dari program ini dapat dirancang dan diperbaiki bagi mencapai objektif kem. Perbincangan dan sesi bertukar pendapat dilakukan dengan dibimbing oleh para fasilitator yang dilantik. Sesi ini dapat memberi nilai tambah kepada para bakal pemimpin, bahkan ia dapat meredakan sedikit tekanan dan merehatkan minda mahasiswa daripada kepadatan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, apatah lagi ia berlangsung dalam suasana di luar kampus. Inisiatif seperti ini juga dapat membantu mahasiswa memupuk semangat kerjasama inklusif dalam pasukan, membudayakan pemikiran kreatif dan menanam semangat kepimpinan yang berkualiti.

Melalui ucapan perasmian penutup oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Sahibi, beliau berpesan kepada mahasiswa agar dapat memberikan komitmen terbaik apabila dilantik sebagai pemimpin kerana menjadi pemimpin ini adalah perlu datang dengan rasa tanggungjawab bagi menjalankan amanah yang telah diberikan. Matlamat dan visi yang berlandaskan kepada kemenjadiaan pelajar menjadi fokus utama agar matlamat Universiti Teknologi MARA sebagai Global Renowned University menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan.

Sebagai penutup, program ini dinilai dapat memberi faedah besar kepada kumpulan mahasiswa terlibat. Program ini dilihat dapat memupuk kerjasama erat di kalangan barisan kepimpinan pelajar dan ini memberi petanda baik terhadap kerjasama lain yang mungkin akan berlaku kelak yang lahir impak dari suasana positif yang terhasil. Dari sudut lain, Unit Kepimpinan Pelajar UiTM Cawangan Perak melihat objektif program berjaya dicapai dan diharapkan pembangunan kemahiran insaniah dan kognitif di kalangan pelajar ini dapat dipergiatkan dari masa ke semasa supaya dapat melatih barisan kepimpinan pelajar yang lebih berkualiti di masa hadapan.

Laporan disediakan oleh: Mohd Shahril bin Abd Rashid (Ketua Unit Kepimpinan Pelajar), Prof Madya Dr Mohd Azian bin Zaidi (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar)