Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor Sah Dilantik Naib Canselor UiTM

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung pelantikan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu akhirnya terjawab apabila Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sah memegang jawatan berkenaan. Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi Facebook selepas menyerahkan surat pelantikan itu kepada Prof Roziah hari ini.

“Hari ini saya menyerahkan surat pelantikan kepada Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu. Beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UiTM,” katanya.

Isu membabitkan jawatan tertinggi universiti itu timbul selepas tular dua surat berhubung pelantikan dan penangguhan pelantikan Prof Roziah di media sosial, baru-baru ini. Surat pelantikan yang tular itu adalah mengenai pelantikan Prof Roziah sebagai Naib Canselor yang ditandatangani Noraini melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu, manakala satu lagi surat ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar menyatakan mengenai penangguhan lantikan.

Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Datuk Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Prof Roziah, 58, memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York, New Paltz New York, Amerika Syarikat (AS); ijazah sarjana dalam bidang sama dari West Virginia University AS dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, Prof Roziah turut menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0 @UiTM dan Global Learning.

“Beliau turut menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2017, 2013, 2009, 2008 dan 2002 serta Researcher of the Year UiTM 2007. Malah, beliau berjaya memperoleh Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact daripada Malaysian Association of Research Scientist dan lain-lain.”

“Dengan visi menjadikan UiTM sebuah universiti mega, seterusnya memberi peluang yang luas kepada Bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang, saya percaya Prof Roziah mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepemimpinan UiTM,” katanya.

Justeru, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan penghargaan kepada Datuk Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim yang menerajui universiti itu lebih dua tahun sejak 2019.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/859416/roziah-sah-dilantik-naib-canselor-uitm