Pelajar PPT Dirai, Rezeki Dikongsi

Berjauhan dari keluarga buat pertama kali merupakan antara cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh pelajar-pelajar Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Johor (UiTMCJ) Kampus Segamat. Tambahan pula, ini juga mungkin merupakan pengalaman pertama mereka menyambut bulan Ramadan bersama kawan-kawan di kolej kediaman yang tentunya berbeza dengan suasana di rumah.

Bagi meraikan 29 pelajar bertuah ini, sekumpulan pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTMCJ telah berkongsi rezeki dengan menyumbangkan juadah berbuka puasa kepada mereka. Meskipun juadah yang dikongsi tidaklah dapat menggantikan juadah yang disediakan oleh ibu di rumah, namun kegembiraan jelas terpampang di wajah semua penerima.

Sesi pemberian juadah dibuat oleh Koordinator PPT UiTMCJ di perkarangan kolej kediaman Sempana Riau (Siswa) dan Mutiara (Siswi) diwakili oleh pelajar-pelajar kelas JBA0021B memandangkan pelajar-pelajar kelas JBA0021A sedang menghadiri kuliah akademik sesi petang.

Rata-rata pelajar memanjatkan kesyukuran ke atas rezeki yang dikongsi bersama mereka. Semoga dengan sumbangan ini para pelajar PPT akan lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim dan seorang pelajar.