Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) MISA Sesi 2021/2022

Pada hari Khamis, 7 April 2022, Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program iaitu Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) bagi sesi 2021/2022. Program ini dijalankan bagi menerapkan kefahaman terhadap tugas-tugas dan cara pengurusan yang betul dan strategik agar dapat menjamin kelancaran pengurusan program yang bakal dijalankan sepanjang semester ini. Program ini telah diadakan secara atas talian di platform Google Meet bermula pada pukul 1.50 petang sehingga 5.30 petang dan melibatkan seramai 7 orang ahli jawatankuasa, 2 orang Penasihat Persatuan dan 61 orang pelajar yang terdiri daripada kalangan Majlis Tertinggi dan juga Exco bagi Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) sesi 2021/2022.

Program ini dimulakan dengan sesi bacaan doa oleh saudara Muhd Asyraf Danial Bin Suhaimi, selaku Pengerusi Majlis dan nyanyian lagu iaitu lagu Negaraku dan juga lagu Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi pembentangan oleh saudari Nur Fatini Binti Indra Purwandita dan saudari Nik Nur Syazana Binti Nik Rahim selaku Mantan Majlis Tertinggi bagi sesi 2020/2021 yang menerangkan tentang skop tugasan dan juga perancangan kertas kerja. Kemudian, sesi pembentangan maklumat bagi program yang bakal dijalankan sepanjang semester ini oleh wakil exco program. Antara program yang dibentangkan adalah Didik With MISA 2.0, Entrepreneur Shop Mobile 2.0, Breast Cancer Awareness: Talk, Smart Circle: Munawwarah 2.0, Orientation Day MISA, Festival Mega Sports of Health Sciences (FEMOS) 2022, Breast Cancer Awareness: Virtual Pink Run, World Radiography Day (WRD) & Alumni Return dan Annual General Meeting (AGM).

Seterusnya, program diteruskan lagi dengan sesi rumusan dan maklum balas oleh penasihat persatuan, Puan Lyana Syahirah Binti Mohd Yamin dan Puan Khairunnisa Binti Abd Manan tentang perkara yang perlu ditambah baik bagi program yang terlibat.

Sebelum menutup tirai biro multimedia telah mengadakan sesi fotografi dengan para hadirin dan program Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) bagi sesi 2021/2022 telah melabuhkan tirai dengan harapan program-program yang dirancang akan berlangsung dengan jayanya.