“Piromutan Ukhuwah” (Menjalin Ukhuwah) – Ziarah Kasih Bersama Pesara UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 7 Februari 2024 – UiTM Cawangan Sabah menganjurkan “Piromutan Ukhuwah” (Menjalin Ukhuwah) – Ziarah Kasih Bersama Pesara UiTM Cawangan Sabah ke kediaman Pesara di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.  Usaha kecil menyantuni para pesara ini, memberi  ruang kepada UiTM Cawangan Sabah melaksanakan aktiviti bersama komuniti dan alumni UiTM, bertanya khabar, menyampaikan sumbangan dan menghargai jasa bakti dan pengorbanan pesara yang telah berkhidmat di UiTM Cawangan Sabah.  Program “Piromutan Ukhuwah” – Ziarah Kasih Pesara ini adalah idea asal Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, menyantuni pesara dan menjalin ukhuwah.

Pada sesi kali ini, “Piromutan Ukhuwah” – Ziarah Kasih Pesara turut disertai Timbalan Pendaftar Kanan, Puan Aminah Aman dan beberapa staf Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Sabah.  Selain bertanya khabar, rombongan ziarah kasih dapat meluangkan masa beramah mesra bersama pesara iaitu Tuan Mattiong bin Mamun, Pesara Ketua Pengawal Keselamatan (telah bersara selama 23 tahun) dan Profesor Madya Amnah binti Mohd Yaacob, Pesara Pensyarah Kanan Akademik (telah bersara selama 17 tahun).

Melalui kunjungan ini, para pesara merakamkan ucapan terima kasih kepada UiTM Cawangan Sabah kerana melaksanakan program seperti ini dan sedikit sebanyak memberi mereka semangat serta penghargaan walaupun telah lama meninggalkan perkhidmatan di UiTM Cawangan Sabah.   Para pesara berkongsi beberapa nasihat serta motivasi dalam pekerjaan seperti elemen penting dalam bekerja adalah ikhlas, amanah dan berserah kepada Allah SWT.

Begitu juga firman Allah SWT:

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًۭا

Maksudnya:  Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah kamu menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

(Ayat 3, Al Ahzab, Al Quran)

Seperti sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut  Sesuatu nasihat yang diberikan mungkin terlalu sedikit tetapi adalah amat berharga untuk generasi muda dalam melaksanakan pekerjaan dan mendepani cabaran masa kini.