Lawatan Kerja Timbalan Menteri KPT ke UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 2 Februari 2024 – Bagai dakwat dengan kertas, hubungan akrab UITM dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terjalin bersama.  Pengurusan UiTM Cawangan Sabah menyantuni Lawatan Kerja YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ke UiTM Cawangan Sabah.  Melalui lawatan kerja ini, YB Timbalan Menteri beramah mesra dengan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) dan Majlis Perwakilan Pelajar 2023/2024 UiTM Cawangan Sabah di Bilik Mesyuarat Akademik, Bangunan Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah.  Selain membincangkan hala tuju pendidikan di Negeri Sabah, YB turut dimaklumkan tentang pencapaian kampus serta perancangan UiTM Cawangan Sabah ke arah mencapai GRU2025.

Terdahulu, YB Timbalan Menteri diiringi Rektor UiTM Cawangan Sabah, Dr. Rozita @ Uji Mohammed meninjau kawasan sekitar kampus seterusnya berbincang berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi oleh UiTM Cawangan Sabah dalam memperkasa pendidikan terutamanya dalam kalangan pribumi dan Bumiputera Sabah sesuai dengan 50 tahun kewujudannya agar terus kekal relevan.  Melalui sidang medianya, YB Timbalan Menteri menyatakan bahawa meskipun prasarana di UiTM telah menjangkau 50 tahun, namun terus gah berpotensi melahirkan ramai graduan yang berkebolehan dan memenuhi permintaan industri.

Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:  Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada (sebagai Rahmat pemberian) daripadaNya, sesungguhnya semua itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan KekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

(Ayat 13, Al Jathiyah, Al Quran)