Program Asas Kepentingan Kewangan Bersama Pelatih Madrasah Darussolihin Barokatul Qodiri

Bagi merealisasikan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah dilancarkan pada tahun 2019 untuk mensasarkan penggabungan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti, seramai 28 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Kewangan, Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS), Shah Alam telah menganjurkan Program Asas Kepentingan Pengurusan Kewangan. Program yang dilaksanakan pada 6 Januari 2024 yang lalu, telah disertai oleh 58 orang pelatih daripada Madrasah Darussolihin Barokatul Qodiri, Jalan Kebun, Shah Alam. Penganjuran program ini adalah bagi memenuhi tugasan projek matapelajaran Personal Financial Planning (FIN533) yang merupakan kursus SULAM fakulti.

 

Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan kewangan dalam kehidupan harian serta memberikan pemahaman kepada masyarakat mengenai risiko kewangan dan strategi untuk mengurus risiko tersebut dengan baik. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk berhadapan masyarakat sekeliling yang berbeza latar belakang serta mengisi aktiviti masyarakat dengan program keilmuan sama ada yang berkaitan dengan kemasyarakatan, keharmonian, kerohanian dan kebajikan.

Program dimulakan dengan ceramah daripada Encik Anuar bin Shuib, Head of Islamic Financial Planning, VKA Wealth Planner dengan tajuk “Asas Kepentingan Pengurusan Kewangan”. Seterusnya, para peserta melaksanakan aktiviti permainan berkumpulan berkaitan kewangan dalam bentuk Kuiz Kahoot dan Crossword Puzzle.

Melalui program sebegini, adalah diharapkan dapat memberi bermanfaat yang berterusan, samada kepada pelajar, mahupun komuniti. Dengan berlangsungnya program seperti ini, lebih ramai mahasiswa yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dapat dilahirkan oleh pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM). Penglibatan mahasiswa turut memberi impak positif bukan sahaja pada diri pelajar malah kepada UiTM khususnya.