“Pharmacare Dan Pharmatopia,” Farmasi Untuk Komuniti

PUNCAK ALAM, 20 JUN 2023 – Pada 17 Jun 2023 yang lalu, seramai 80 orang pelajar Tahap 2 Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 telah menyertai program ‘Pharmacare dan Pharmatopia’ yang dijalankan di Fakulti Farmasi, UiTM Puncak Alam. Program ini merupakan gabungan kerjasama daripada pihak Society of Pharmacy Students (SOPHYS) dan para pelajar semester 2 dari Fakulti Farmasi dan pelajar semester 4 dari Fakulti Sains Kesihatan. Syarikat Pfizer Malaysia dan McDonald’s Malaysia yang merupakan penganjur bersama telah memberikan sumbangan kepakaran, sukarelawan dan makanan bagi memastikan kelancaran program.

Pharmatopia merupakan satu tugasan projek kursus ‘Know Your Medicine’ (UPH654) yang merupakan kursus SULAM fakulti, di bawah bimbingan pensyarah, Puan Nur Sabiha Md Hussin. Program ini dilaksanakan bagi merealisasikan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilancarkan pada tahun 2019 untuk menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti. Tujuan inisiatif ini selari dengan objektif SULAM yang bertujuan meningkatkan pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan di dunia sebenar dalam komuniti. Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah berkenaan bidang farmasi dan penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar universiti untuk membina hubungan baik, berinteraksi dan bekerjasama secara efektif bersama wakil dari komuniti sama ada guru sekolah mahupun pelajar.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program bertumpu kepada pendedahan ilmu berkenaan ubatan yang berkait dengan program Kenali Ubat Anda. Aktiviti yang diadakan adalah ceramah mengenai program Kenali Ubat Anda dan penggunaan antibiotik. Selain itu, praktikal makmal berkaitan antibiotik juga dijalankan. Aktiviti diteruskan dengan booth interaktif pada sesi petang yang memberi pendedahan berkenaan ubatan dengan lebih lanjut kepada pelajar sekolah.

Diharapkan lebih banyak program-program seperti ini dapat dilaksanakan oleh para pelajar universiti, sebagai pendedahan awal kepada mereka terutama sekali dalam kemahiran berkomunikasi dan pengurusan program. Selain itu, para pelajar juga dapat memberi impak positif kepada komuniti sekeliling terutama sekali di kawasan Puncak Alam.