Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Memperkasakan Budaya Keusahawanan Melalui Penganjuran Program FOA Market Place 2.0

Jengka, Pahang, 11 MEI 2023 – Program FOA Market Place 2.0 telah diadakan kembali bertempat di lobi Bangunan Leucaena UiTM Cawangan Pahang dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Program ini merupakan initiatif berterusan Fakulti Perakaunan Cawangan Pahang semenjak dari tahun 2022 dalam memupuk budaya keusahawanan dikalangan pelajar khasnya dan komuniti UiTM secara amnya. Secara ringkasnya, program ini melibatkan warga UiTM yang terdiri dari pelajar dan staf yang berminat membuka perniagaan dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka mengaplikasi pengetahuan berkaitan perniagaan serta menzahirkan pengetahuan mereka di dalam transaksi perniagaan yang sebenar.

FOA Market Place 2.0 telah disertai oleh 19 penggerai yang terdiri daripada pelajar, persatuan pelajar dan staf. Pelbagai jenis barangan diperniagakan termasuk aneka jenis makanan dan minuman, buahan-buahan dan bunga-bungaan serta pakaian. Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), UiTM Cawangan Pahang. Setelah selesai acara perasmian, Encik Mohammad Khair Bin Mohd Seni, Timbalan Pendaftar dan Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan mengiringi Timbalan Rektor HEA untuk melawat tapak gerai jualan dan beramah mesra dengan penggerai serta pengunjung yang datang.

Program yang dianjurkan ini, bergerak sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputra yang berjaya pada masa akan datang. Ianya selaras dengan Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan. Seterusnya ini dilihat mampu membantu dalam menjayakan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 atau DKN 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawan yang unggul menjelang tahun 2030.

Program yang telah mendapat sambutan luar biasa dari seluruh warga kampus ini turut membantu UiTM mencapai Matlamat Pembangunan Lestari ke 8 (SDG 8) iaitu Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan. Program ini juga merupakan satu ikhtiar untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar. Secara tidak langsung, pelajar berpeluang untuk meneroka pasaran yang lebih kompetitif dalam kampus serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi pelajar itu sendiri seiring dengan DKN 2030. Semoga lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang dalam mendukung hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya tahan.