”Universiti Untuk Masyarakat” Bersama Yayasan Anak- Anak Yatim Wardatul Jannah

SHAH ALAM, 25 Jun 2023 – Pada 17 Jun 2023 yang lalu, seramai 39 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Kewangan, Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS), Shah Alam, telah mengadakan program bersama anak-anak yatim di Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah, Kota Damansara. Program yang dilaksanakan ini merupakan tugasan projek matapelajaran Personal Financial Planning (FIN533) yang merupakan kursus SULAM fakulti. Seramai 12 orang penghuni yayasan anak-anak yatim, yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf, berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun telah mengikuti program ini.

Bertemakan ”Jalinan Kasih Bersama Anak Yatim”, program ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk menyantuni anak yatim dengan berkongsi pengetahuan dalam bidang kewangan dan pendidikan. Ia juga diharapkan menjadi satu platform untuk pelajar berinteraksi secara bersemuka bersama peserta serta mengasah kemahiran berkomunikasi antara pelajar dan anak yatim. Penganjuran program ini diharapkan mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Diharapkan dengan kehadiran para pelajar UiTM ini yang rata-ratanya telah pun bekerja dapat mewujudkan hubungan konsep “role model” kepada anak anak yatim sebagai penunjuk arah dalam menguruskan kewangan.

Program dimulakan dengan ceramah daripada Encik Muhammad Anwar Mokles, perunding kewangan di AMG Consultation dengan tajuk “Mengenali Kewangan Persendirian”. Seterusnya, para peserta kemudian melaksanakan aktiviti luar yang berbentuk praktikal seperti permainan” Money Jenga”, ”Budgeting Games” “Financial Obstacles”, “Pouring Water” dan ”Musical Chair” yang menguji pengetahuan peserta dari sudut literasi kewangan.

Diharap dengan berlangsungnya program seperti ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dapat melahirkan mahasiswa yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Penglibatan mahasiswa turut memberi impak positif bukan sahaja pada diri pelajar malah kepada UiTM khususnya.