Pertandingan Cipta Lirik Lagu: Cungkil Bakat Pelajar Diploma AC120

24 MEI 2023 | Satu cabaran baru yang sangat menarik buat para pelajar bahagian 4 Diploma Perakaunan dan Informasi Sistem (DAIS) dari UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, apabila ditugaskan untuk mencipta lirik lagu secara spontan. Seiring dengan agenda PTAR di UiTM yang menekankan aspek penulisan kreatif melalui lirik lagu, pensyarah undang-undang dan pelajar bagi kod kursus LAW240 telah berjaya menyahut aspirasi tersebut dengan mengadakan satu aktiviti baharu berbentuk pertandingan mencipta lirik lagu bertemakan nasyid dan ketuhanan. Selain menguji kebijaksanaan dan kreativiti, aktiviti ini diadakan bagi membincangkan topik mingguan untuk subjek kod LAW240 di bawah subtopik asas: Transaksi Dalam Perniagaan Islam.

Seramai 28 pelajar telah mengambil bahagian dan membentuk 5 kumpulan kecil untuk mencipta lirik lagu yang bersesuaian dengan topik yang diberikan. Setiap kumpulan diberikan masa selama 50 minit untuk menyiapkan lirik lagu sebelum membuat persembahan selama 5 minit di atas pentas Library Community Engagement (LCE), aras 2, PTAR, UiTM Tapah. Inilah cabaran khas untuk peserta, mencipta lagu dan sekaligus mempersembahkannya di hadapan para juri!

Tirai persembahan pembukaan telah dibuka oleh kumpulan 1 dengan pilihan lirik dan lagu diilhamkan daripada lagu nasyid ‘Iman adalah Mutiara’. Kumpulan 2 menyajikan persembahan hasil ilham daripada lagu ‘Omar dan Hana, bertajuk Ya Itu Benar’. Disusuli dengan kumpulan ke 3, membawakan lagu nasyid ‘Sepohon Kayu’ , kumpulan ke 4 mengetengahkan lagu ‘Setanggi Syurga’ dan persembahan ditutup dengan kumpulan 5 dengan lagu nasyid berjudul ‘Di Pondok Kecil’.

Persembahan mereka telah diadili oleh 2 juri jemputan khas iaitu En Arif selaku juri persembahan dan kerjasama, dan En Aizu Hakimi selaku juri susunan lirik. Mereka merupakan staf dan pustakawan PTAR UiTM Kampus Tapah yang memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang aktiviti berlangsung. Selesai membuat penilaian, kumpulan 3 telah dinobatkan sebagai juara persembahan paling menarik dan kreatif, melayakkan mereka untuk membawa pulang sebuah hamper tajaan PTAR.

Akhir kata, masing-masing telah membuat persembahan yang cukup menarik. Selain daripada terhibur dengan gelagat peserta, mereka juga dapat mempelajari topik tersebut dengan cara yang sangat kreatif. Semua pelajar telah memberikan kerjasama yang sangat baik untuk menyiapkan tugasan ini.

Aktiviti ini juga selari dengan kehendak READ@UiTM anjuran PTAR dalam kategori pertandingan seni kreatif, untuk itu diharapkan aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas.