Persidangan Persatuan Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) 2023

Shah Alam : Tanggal 11 Disember 2023 menyaksikan acara tahunan Persidangan Persatuan Kolej Pengajian Kejuruteran (KPK) bagi tahun 2023 diadakan dan upacara perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Dr Hamidah Mohd Saman, Penolong Naib Canselor (PNC) KPK, bertempat di Dewan Melati Platinum UiTM Shah Alam.

Persidangan Persatuan 2023 ini adalah merupakan siri ketiga semenjak penubuhan KPK pada 29 Mac 2021. Ianya adalah hasil gembleng tenaga  anjuran Pejabat Pengurusan HEP , Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dan Sekretariat Mahasiswa (SMF) di KPK yang mana telah menggabungkan 25  persatuan dan kelab di KPK. Seramai 158 orang pemimpin pelajar KPK telah  melibatkan diri untuk bersama-sama bersidang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 4 petang. Terdapat 5 sesi sidang yang telah dijalankan dan ianya meliputi skop pengurusan, kebajikan dan pembangunan pelajar.

Objektif persidangan ini dijalankan bukan semata-mata untuk pelajar mengutarakan isu tetapi juga bagi memberi ruang dan peluang kepada pemimpin muda di KPK untuk melontarkan cadangan bernas demi memantapkan lagi perihal yang berkaitan dengan pelbagai perkara dalam kehidupan kampus contohnya aktiviti kepimpinan dan pembangunan pelajar serta kebajikan dan kesjahteraan pelajar.  Segala  saranan dan cadangan yang diusulkan akan dipertimbangkan sebaik mungkin oleh pihak pengurusan KPK.

Simbolik penyerahan usul yang telah dibentangkan dan dipersetujui di dalam persidangan telah diterima oleh YBhg. Prof. Dr Hamidah  dan ianya akan dibincangkan secara teliti serta diambil tindakan sewajarnya oleh pihak pengurusan KPK. Adalah diharapkan dengan inisiatif sebegini ianya  dapat menambah baik pengurusan dan meningkatkan lagi prestasi KPK secara khusus dan UiTM secara umum dalam memastikan pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi antara agenda utama dalam usaha memartabatkan lagi kemenjadian graduan UiTM di persada global .