UiTM dan Sekolah Kebangsaan Padang Jawa Memupuk Kreativiti Kanak-Kanak Melalui Bengkel Seni

Shah Alam, 12 Disember 2023 – Seni merupakan medium ekspresi diri dimana kanak-kanak lazimnya jujur dalam meluahkan fikiran dan perasaan. Pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia pada 2020 hingga 2021 sudah pastinya meninggalkan kesan kepada kanak-kanak. Atas kesedaran ini, sebuah bengkel seni bertajuk “Pengalaman Semasa Pandemik”, di bawah inisiatif ‘Service Learning Malaysia – University for Society’ (SULAM), telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Shah Alam.

Lebih 70 orang murid Tahun 3 SK Padang Jawa telah menyertai bengkel yang mana turut melibatkan 26 orang mahasiswa-mahasiswi UiTM kursus mata pelajaran Perpustakaan Kanak-kanak (IML606) sebagai fasilitator program.

Di dalam penyediaan program, beberapa sesi perbincangan telah diadakan bersama pihak pengurusan sekolah. Sesi ini telah membantu di dalam merekabentuk kandungan dan struktur bengkel seni yang melibatkan penggunaan bahan seni yang berbeza, serta membolehkan murid menzahirkan bakat mereka melalui aktiviti seni. Peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan, dimana setiap kumpulan telah mewarna beg kantung, beg jinjing, melukis batik dan kain rentang serta membina miniatur. 

Bengkel seni ini bertujuan membolehkan murid berkongsi dan membincangkan hasil seni yang mampu memupuk semangat kemasyarakatan dan kreativiti di kalangan kanak-kanak. Aktiviti sebegini membolehkan kanak-kanak meneliti dan menilai penerimaan mereka terhadap cabaran masa pandemik COVID-19 memandangkan ia berlaku ketika mereka hanya berusia 6 tahun.

Menurut Puan Zuhiedaya Yahya, Penolong Kanan (Sesi Petang) SK Padang Jawa, bengkel seni yang dijalankan mampu mencungkil bakat murid selain memupuk minat seni. Ini secara tidak langsung membentuk generasi pelajar kreatif. Rata-rata murid yang menyertai bengkel tersebut menzahirkan perasaan seronok dan berharap lebih banyak aktiviti serupa diadakan pada masa hadapan.

Program SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) KPPIM 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.