PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: YANG DI-PERTUA NEGERI

Yang di-Pertua Negeri merupakan Ketua Negeri di empat buah negeri di Malaysia yang tidak mempunyai Raja pemerintah, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya selepas berunding dengan Ketua Menteri (Jadual ke-8 Bahagian I Klausa 19a). Tempoh pelantikan Yang di-Pertua Negeri adalah selama empat tahun tetapi dalam pada bila-bila masa boleh meletakkan jawatan serta boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong atas sembah Dewan Undangan Negeri yang disokong dengan undi tidak kurang daripada 2/3 daripada jumlah bilangan ahlinya. 

Menelusuri sejarah Yang di-Pertua Negeri, ia bermula sebelum kemerdekaan Malaysia, apabila Melaka dan Pulau Pinang menjadi Negeri-negeri Selat di bawah pentadbiran British. Pada masa itu, kedua-dua negeri ini diperintah oleh Gabenor yang dilantik oleh Kerajaan British. Selepas Perang Dunia Ke-2, Negeri-negeri Selat menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada masa itu, jawatan Gabenor diganti dengan Yang di-Pertua Negeri dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara baginda selepas berunding dengan Ketua Menteri. Kemudian pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak pula menyertai Persekutuan Malaysia kerana sebelum itu, Sabah dikenali sebagai Borneo Utara diperintah oleh Gabenor yang dilantik oleh Kerajaan British. Sarawak pula diperintah oleh Raja Putih yang merupakan keturunan James Brooke, seorang rakyat British yang menjadi Raja pertama Sarawak pada 1841. Selepas menyertai Malaysia, kedua-dua negeri ini diperintah oleh Yang di-Pertua Negeri. 

Setiap pelantikan sudah tentu ada peranan dan tanggungjawab yang perlu digalas. Berikut adalah secara ringkas peranan Yang di-Pertua Negeri:

  • Ketua Kerajaan Negeri: Yang di-Pertua Negeri bertanggungjawab untuk melantik Ketua Menteri dan ahli-ahli Exco yang akan menasihati beliau dalam menjalankan peranannya. Yang di-Pertua Negeri juga merupakan komponen dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mempunyai kuasa untuk mengadakan perhimpunan atau pembubaran DUN. Persetujuan beliau adalah diperlukan bagi meluluskan undang-undang negeri.
  • Kehakiman: Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk melantik hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman di peringkat negeri (bagi hakim-hakim dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah negeri adalah dibawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja). Yang di-Pertua Negeri juga mempunyai kuasa pengampunan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah undang-undang negeri merujuk kepada Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
  • Pentadbiran: Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk melantik pegawai-pegawai penting negeri, seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Audit Negeri, dan Ketua Polis Negeri. 
  • Sumber kehormatan dan keutamaan dari segala orang: Yang di-Pertua Negeri adalah simbol kedaulatan dan perpaduan negeri. Ia termaktub di dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan.Yang di-Pertua Negeri juga mempunyai kuasa untuk menganugerahkan darjah, bintang, dan pingat kebesaran negeri kepada individu-individu yang berjasa kepada negeri. 

Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan yang penting dalam sistem pemerintahan dan perpaduan negeri. Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan dan peranan Yang di-Pertua Negeri malah dalam Jadual Kelima mengabsahkan Yang di-Pertua Negeri merupakan juga ahli Majlis Raja-Raja, namun tidaklah boleh menjadi anggota dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau berhubungan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama. Yang di-Pertua Negeri juga bertanggung jawab untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri dipatuhi serta dilaksanakan dengan adil dan saksama. Oleh itu, adalah penting untuk memahami peranan Yang di-Pertua Negeri sebagai sebahagian daripada penghayatan nilai-nilai perlembagaan dan demokrasi di Malaysia. 

Senarai Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja terkini; 

Melaka: Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam

Pulau Pinang: Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Sabah: Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin

Sarawak: Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud.