UiTM Cawangan Selangor (UCS) dan SMK Saujana Utama Rai Murid Berkeperluan Khas di Majlis Graduasi

Puncak Alam, 13 Januari 2024 – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Saujana Utama dengan kerjasama UiTM Cawangan Selangor berjaya mengelolakan Majlis Graduasi Pendidikan Khas Daerah Kuala Selangor. Majlis anjuran Unit Pendidikan Khas Sektor Pembelajaran PPD Kuala Selangor ini telah meraikan seramai 137 orang pelajar PPKI dari 21 buah sekolah rendah dan menengah di daerah Kuala Selangor. Majlis ini dianjur bagi meraikan dan memberi pengiktirafan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas yang akan menamatkan persekolahan di sekolah rendah dan menengah.

YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor berbesar hati menyempurnakan majlis dan menyampaikan sijil graduasi. Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyatakan keupayaan Murid Berkeperluan Khas telah terbukti dan menjadi kebanggaan kepada negara kita Malaysia. Pencapaian yang telah dilakukan di pentas antarabangsa, Southeast Asia Disability’s Talent Challenge 2020 oleh murid SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah boleh dijadikan inspirasi kepada semua warga pendidik.

Tahniah kepada semua Murid Berkeperluan Pendidikan Khas yang diraikan dan syabas kepada para guru serta ibu bapa yang komited memastikan kecemerlangan anak-anak ini.

#UCSCemerlang