Perlaksanaan Pemantauan Pelajar Semasa Pandemik di Kampus UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka

Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti merentas negeri sekaligus memberikan satu harapan kepada seluruh warga UiTM khususnya para pelajar untuk pulang ke kampus dan menjalani rutin harian sebagai mahasiswa yang amat dirindui. Bagi pelajar yang belum pernah ke kampus pula ianya adalah saat-saat yang dinantikan untuk menjalani rutin kehidupan yang baharu. Ibarat sirih pulang ke ganggang begitulah jua ibaratnya kepulangan pelajar yang dinanti tiba pada hari pendaftaran bagi sesi Oktober- Feb 2021. Tarikh 16 Oktober 2021 menjadi saksi penerimaan pelajar fasa pertama setelah beberapa semester kampus berada dalam keadaan yang sunyi tanpa pelajar. Walaupun hanya melibatkan pelajar yang berkeperluan pulang ke kampus, namun suasana sunyi dahulu telah kembali ceria dengan suara dan gelak tawa para pelajar.

Sungguhpun begitu, kembalinya pelajar ke kampus bukan petanda berakhirnya pandemic Covid-19 lantas dijadikan tiket untuk pelajar bebas melakukan apa sahaja aktiviti. Sebaliknya, Prosedur Operasi Standard masih diamalkan dan dipantau di dalam kawasan kampus bagi mengelakkan penularan wabak ini. Perbincangan yang teliti dengan mengambilkira pelbagai risiko kebarangkalian telah dilakukan oleh pihak pengurusan universiti dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa dijaga sepanjang berada di kampus. Antara perkara yang menjadi tumpuan dan permintaan daripada para pelajar adalah kebenaran untuk keluar dari kawasan kampus untuk urusan peribadi serta dapat melepaskan tekanan sepanjang berada di kampus menjalani pembelajaran secara ODL mahupun secara hybrid.

Selepas mendapat mandat persetujuan melalui mesyuarat Jawatankuasa Operasi dan Bencana Negeri (JOBN) UiTM Cawangan Pahang pada tarikh 27 Oktober 2021, pihak pengurusan kampus telah sebulat suara meluluskan serta memberi kebenaran kepada para pelajar untuk keluar dari kawasan kampus bermula 1 November 2021 yang lalu. Namun begitu, demi menjaga keselamatan dan mengurangkan risiko jangkitan dikalangan pelajar, lokasi yang dibenarkan terhad sekitar Bandar Tun Abdul Razak Jengka sahaja selain perlu meminta kebenaran bertulis sekiranya perlu keluar daerah.

Prosedur Pengendalian Standard (SOP)

Selaras dengan ini, satu Jawatankuasa Pelaksana Pemantauan Keluar Masuk Pelajar telah ditubuhkan bagi memastikan pergerakan keluar dan masuk pelajar ini dapat dikawal. Jawatankuasa ini diterajui oleh Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar sendiri iaitu Yang Berbahagia Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh dibantu oleh En Mior Ahmad Ridzuan Mior Mohamed Tahir serta para pemimpin pelajar ini juga telah menggariskan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Antara prosedur yang telah disediakan oleh jawatankuasa ini adalah:

I. Waktu yang dibenarkan keluar adalah bermula jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada setiap hari.
II. Pelajar perlu membuat pengisytiharan kesihatan menggunakan system saring-C UiTM dan juga mengimbas kod QR keluar dan masuk yang telah diletakkan di Kolej Mat Kilau dan Kompleks ToK Gajah.
III. Sentiasa memakai pelitup separuh muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman semasa menaiki kenderaan.
IV. Sentiasa menjaga jarak fizikal.
V. Pergerakan bas UiTM yang disediakan akan melalui tiga (3) perhentian iaitu pasaraya Mydin, Pasaraya Econsave dan juga Terminal Jengka Sentral.
VI. Para pelajar juga diminta untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard semasa berada di luar kampus.
VII. Setelah pelajar pulang ke kampus, pelajar perlu mengimbas kod QR sekali lagi di Kolej Mat Kilau dan Kompleks Tok Gajah.

Bagi memudahkan urusan keluar pelajar ini, pihak pengurusan juga telah menyediakan perkhidmatan bas UiTM pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Selain itu, para pelajar juga dibenarkan untuk keluar menggunakan kenderaan sendiri ataupun menggunakan perkhdimatan pengangkutan awam seperti grabcar, e-hailing dan pengangkutan awam yang lain. Rata-rata pelajar yang ditemui berpuas hati dengan keputusan dan SOP yang ditetapkan serta kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kampus.

Diharapkan para pelajar dapat menggunakan peluang yang telah diberikan oleh pihak UiTM Cawangan Pahang ini sebaik mungkin bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di dalam kawasan kampus.