Latihan Industri 1 (FPA210) Pelajar Diploma Pengurusan Ladang, FPA UiTM Cawangan Pahang

Latihan Industri 1 (FPA210) merupakan sebahagian daripada kursus wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar Semester 2 Diploma Pengurusan Ladang (AT110) bagi memenuhi keperluan program AT110. Pelajar akan menjalani latihan industri di dalam kampus bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar situasi sebenar yang akan ditempuhi sebelum mereka menjalani latihan industri di organisasi luar pada Semester 4 nanti. Selain itu, latihan industri ini juga mampu membantu dalam meningkatkan kemahiran sosial pelajar.

Seramai 131 orang pelajar Diploma Pengurusan Ladang telah menjalani Latihan Industri 1 (FPA210) bertempat di Ladang UiTM Cawangan Pahang (UCPh) sepanjang cuti akhir semester Mac-Ogos 2021. Kemasukan pelajar ke kampus terbahagi kepada dua fasa bagi memberi ruang kepada para pelajar melengkapkan vaksinasi masing-masing. Fasa pertama bermula pada 13 Ogos – 3 Oktober 2021 dan fasa kedua bermula pada 28 Ogos – 10 Oktober 2021. Sebaik sahaja tiba di kampus, para pelajar telah diisolasi di kolej kediaman masing-masing selama 10 hari. Hanya selepas selesai proses isolasi barulah pelajar memulakan latihan industri di Ladang UiTM secara bergilir ke setiap kawasan yang ditetapkan seperti Plot Tanaman Nanas, Plot Agrotourism, Ladang Sawit, Ladang Getah, Ladang Buah-buahan, Taman Herba, Nurseri, Kawasan Ternakan Lembu dan beberapa Projek MyAgrosis di antaranya Projek Fertigasi serta Projek Madu Kelulut.

Enam orang kakitangan UCPh yang terdiri daripada Encik Mohamad Amir Shah Bin Yusop (Koordinator MyAgrosis), Encik Shamsudin Bin Ismail (Penolong Pengurus Ladang) serta 4 orang Penolong Pegawai Pertanian, Unit Pengurusan Ladang (UPL) iaitu Encik Zolhalim Bin Abdul Samat, Encik Hamzah Bin Abu Samah, Encik Eddy Noor Bin Ahmad Shah dan Encik Mohd Syafiq Bin Md Said telah dilantik sebagai Penyelia Latihan Industri bagi menyelia para pelajar dengan dibantu oleh kakitangan di bawah unit masing-masing.

Pelbagai aktiviti telah dirancang dan berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh latihan industri dan para pelajar banyak menimba ilmu pengetahuan serta dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari sewaktu kuliah ketika menjalani latihan industri di ladang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak sepanjang latihan industri ini dijalankan.